Skip to main
Logo Malaysiakini

Melaka United menang bergaya, Kuching City FC tewaskan UiTM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pusingan pertama Piala FA semalam melibatkan tiga perlawanan tertunggak menentukan finalis 15 pasukan yang akan mara ke peringkat seterusnya.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka United yang jelas mendominasi permainan meratah PIB FC 4-0.

Bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menjadi sorotan perlawanan selepas menjaringkan dua gol untuk meletakkan Melaka United selesa di hadapan.

Jaringan pembukaan disumbangkan oleh pemain sayap kelahiran Ghana, Emmanuel Oti Essigba pada minit ke-12 melalui rembatan lencong dari bahagian kanan kotak penalti yang menewaskan penjaga gawang PIB FC, Izzat Abd Rahim.

Pertahanan PIB FC yang sedaya upaya menyerap asakan berterusan bagaimanapun telah menghadiahkan sepakan penalti kepada Melaka United di babak kedua selepas Syukri Azman menahan bola menggunakan tangan di dalam kotak.

Adriano Narcizo tenang menyempurnakan sepakan penalti dan menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-56.

Momentum Melaka United bertambah rancak apabila Norshahrul Idlan Talaha menceroboh kubu PIB FC untuk menolak masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-60 hasil dari hantaran pemain jersi nombor 15, Khairul Anwar.

Pesta gol Melaka United disudahi dengan jaringan kedua Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-76 yang melepaskan rembatan kencang selepas berlaku kucar-kacir di dalam kotak penalti PIB FC.

Di Bumi Kenyalang pula, Kuching City FC berjaya menempah slot Piala FA selepas menjinakkan UiTM FC 2-0 menerusi jaringan Shafizi Iqmal dari sudut sukar padat minit ke-56 dek kealpaan penjaga gol, Robson Rendy Rining yang meninggalkan ruang kosong di bahagian kiri gawang.

Jaringan kedua Kuching City FC pada minit ke-62 hadir melalui tandukan Alif Hassan yang menyambut hantaran silang Rames Lai.

Di Ipoh, Perak FC berjaya mengorak langkah seterusnya dalam pusingan kedua Piala FA apabila mengecewakan Kijang Rangers 1-0.

Hakimi Mat Isa memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-101 selepas bola muntah penjaga gawang Kijang Rangers FC menghidangkan peluang keemasan kepada Hakimi untuk menyambar pulang kemenangan buat pasukannya.