Skip to main
Logo Malaysiakini

Sabah FC bergaya di Melaka, Selangor FC kempunan 3 mata

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perlawanan Liga Super yang pertama untuk Ramadan kembali menyantuni peminat bola sepak tanah air malam tadi setelah hampir sebulan berehat.

Pertembungan di antara Melaka United yang menentang Sabah FC di Stadium Hang Jebat menyaksikan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata penuh menyeberangi Laut China Selatan selepas mereka menundukkan tuan rumah 1-0.

Kelincahan Park Tae-su mencari ruang dan menggelecek bola melepasi dua pemain pertahanan Melaka United berjaya menghasilkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-25.

Kemenangan itu meletakkan Sabah FC ke tangga ketiga Liga Super.

Perlawanan penuh dramatik di antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC pula berakhir tidak seperti yang diharapkan kedua-dua pasukan apabila mereka terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2.

Perlawanan berlangsungdi Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi itu menyaksikan Selangor FC dan Negeri Sembilan FC hanya mengumpul satu mata.

Pasukan tuan rumah ketinggalan pada minit ke-35 apabila pemain mereka Nasrullah Haniff Johan melakukan kesilapan.

Ketika dia cuba 'membuang' bola dari kawasan bahaya, sebaliknya bola memasuki gawang sendiri dan meletakkan lawannya - Selangor FC - memiliki kelebihan.

Bagai orang mengantuk yang disorongkan bantal, Selangor FC kemudian dihadiahkan sepakan penalti dan disudahkan dengan sempurna oleh Caion pada minit ke-50.

Ia sekali gus meletakkan pasukan pelawat selesa di hadapan.

Bagaimanapun Negeri Sembilan FC tidak luntur semangat dan memberikan respons agresif melalui jaringan sepakan penalti Herold Goulon pada minit ke-58.

Seterusnya tuan rumah mengunci keputusan 2-2 selepas Kossi Adetu meledak masuk bola ke dalam gawang Selangor FC pada minit ke-75.

Keputusan seri turut dicatat di Stadium Negeri, Kuching, apabila Sarawak United FC mengikat Penang FA 1-1 untuk berkongsi mata. Penang FA membuka perlawanan dengan langkah kanan menerusi tandukan Casagrande pada minit ke-73.

Namun, kelebihan yang dimiliki tidak bertahan lama apabila Boris Kok mencuri peluang untuk menjaringkan gol penyamaan Sarawak United FC 10 minit kemudian.