Skip to main
Logo Malaysiakini

Memang Chong Wei 'dilamar' jadi jurulatih di negara luar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Legenda badminton negara, Lee Chong Wei, mengesahkan dia ada mendapat tawaran untuk menjadi jurulatih badminton di luar negara namun belum bercadang untuk berbuat demikian buat masa ini.

Melalui hantaran di Facebooknya semalam, Chong Wei yang telah bersara pada 2019 atas faktor kesihatan itu berkata dia lebih senang berada di Malaysia walaupun masih cintakan sukan badminton.

“Memang benar Chong Wei dapat tawaran, sudah pasti Chong Wei masih cinta terhadap sukan badminton, tetapi pada masa sekarang Chong Wei tidak berniat untuk menjadi pelatih (jurulatih).

“Chong Wei akan terus lepak di Malaysia, layan bazaa Ramadan dan tunggu jemputan open haus Raya (rumah terbuka hari raya),” guraunya dalam hantaran yang dibuat melalui tiga bahasa itu.

Hantaran itu dibuat selepas media melaporkan, Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Misbun Sidek memberikan sokongan kepada Lee jika dia terlibat sebagai jurulatih di luar negara.

Katanya dengan langkah itu wajar Chong Wei dapat mengumpul pengalaman lebih banyak sebagai jurulatih pelapis.

Pada masa sama, Misbun berkata, BAM juga akan rugi jika Chong Wei membuat pilihan melatih pemain negara asing kerana bekas pemain nombor satu dunia itu memang memiliki kehebatannya.

Antara kelebihan Lee, menurut Misbun, ialah daya analisis yang boleh dimanfaatkan negara lain.

Di negara luar juga, kata Misbun, Chong Wei akan dihormati dan diyakini sebagai jurulatih.

Sebelum ini terdapat ura-ura bahawa Chong Wei ditawarkan menjadi jurulatih skuad badminton Singapura.