Skip to main
Logo Malaysiakini

Keane anggap dah tak ada apa nak dibanggakan di MU

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

EPL | Pertembungan musuh ketat di antara Liverpool dan Manchester United semalam menyaksikan The Red Devils diaibkan teruk apabila gawang mereka dibolosi empat kali di tanah keramat Anfield.

United yang merupakan seteru Liverpool FC selama berdekad-dekad lamanya sama ada di peringkat domestik mahupun Eropah dilihat ketandusan bisa seperti yang pernah menjadi mimpi ngeri pihak lawan.

Pemain legenda Manchester United, Roy Keane, mencapai ‘takat didih’ selepas menyaksikan pasukan kesayangannya dibenam Liverpool tanpa belas kasihan dan membidas prestasi yang disajikan pemain.

“Ini bukan kelab yang saya pernah wakili suatu ketika dahulu, ini bukan Manchester United yang saya kenal,” katanya dalam kekecewaan.

Keane sebagai seorang pengulas yang sebelum ini sinonim dengan kebengisannya untuk mengkritik United kelihatan sugul untuk menghadam realiti semasa iaitu sebuah kelab berprestij yang kini hanya tinggal sejarah.

“United sekarang ini tiada jiwa untuk bermain di atas padang, tiada ciri-ciri kepimpinan dan kualiti permainan juga jauh merudum.

“Marcus Rashford di bahagian penyerang seperti budak-budak, Jesse Lingard sepatutnya meninggalkan United dua tahun lalu kerana dia tidak cukup bagus untuk kelab ini, Harry Maguire di bahagian pertahanan prestasinya tidak boleh diterima.

“Lupakan hasrat untuk menjadi pencabar liga kerana apabila bermain di bawah tekanan, mereka tidak mampu memberikan prestasi yang diperlukan, saya fikir tiada lagi kebanggaan untuk menjadi sebahagian dari kelab ini,” tambahnya lagi.

Bekas pemain pertahanan kelab itu, Rio Ferdinand, selepas keputusan semalam membuat satu ciapan dengan nada sinis untuk menutup televisyen dan notifikasi akaun Twitter kerana yakin akan dihujani lawak jenaka dari warganet yang bergembira di atas kehibaan pasukannya.

“Tutup TV, tutup notifikasi Twitter, sampai kita berjumpa lagi di lain masa,” ciapnya.

Sumbangan gol pembukaan Luis Diaz seawal minit kelima dan tiga gol gandingan penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane cukup untuk menghampakan hasrat United mengecapi empat tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini di Old Trafford juga mencetak keputusan yang ‘mengaibkan’ kepada tuan rumah, ditundukkan Liverpool dengan jurang 5-0.