Skip to main
Logo Malaysiakini

FAM, Juventus teroka kemungkinan bekerjasama

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang mengadakan perbincangan awal dengan salah sebuah kelab gergasi Eropah bagi membuka laluan buat pemain muda negara beraksi di Itali.

Presiden FAM Hamidin Mohd Amin berkata jika semuanya berjalan lancar pemain negara khususnya dari skuad Bawah 17 tahun (B-17) berpeluang menjalani latihan di akademi bola sepak Juventus FC di Turin.

Pengumuman itu menyusul selepas FAM menerima kunjungan rasmi wakil Juventus yang diwakili pengarah urusannya, Federico Palomba. Turut hadir pengurus jualan kerjasama kelab itu, Kelvin Leung.

Menurut FAM lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala yang jika berjaya dipersetujui mampu memberi galakan kepada perkembangan bola sepak tempatan khususnya di peringkat akar umbi serta belia.

Kata Hamidin kerjasama tersebut berpotensi memberi manfaat kepada bola sepak Malaysia.

"Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia.

"Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita antara Dis ini dan Julai 2023," katanya.

Tambah Hamidin, seandainya persefahaman dapat dijalin pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus FC dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya.

Selain itu, Juventus dikatakan sedang melihat potensi dan berminat untuk membuka akademinya di Malaysia.

Juventus juga dilaporkan menjemput Malaysia untuk membuat kunjungan balas ke pangkalan mereka di Turin bagi meninjau ibu pejabat dan kemudahan yang disediakan di akademi itu.