Dua emas Sukan Sea: Kem terjun M'sia membanggakan - Ketua Kontinjen
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-31 Datuk Nur Azmi Ahmad menyifatkan semalam adalah hari yang membanggakan susulan kejayaan kem terjun negara menyumbangkan dua pingat emas dan satu perak di Pusat Akuatik My Dinh di Hanoi.
Beliau optimis skuad terjun kebangsaan mampu meneruskan momentum cemerlang dalam baki enam acara selepas ini sekali gus mencapai sasaran menyapu bersih lapan pingat emas di temasya sukan dwitahunan itu.
“Pertama sekali saya mengucapkan tahniah kepada skuad terjun yang meraih pingat emas pertama menerusi Dhabitah (Nur Dhabitah Sabri) dan satu lagi daripada gandingan penerjun lelaki.
“Saya percaya (skuad) terjun akan menyumbang pingat-pingat yang lain. Saya juga mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat perak (Kimberly Bong Qian Ping) atas kejayaan beliau,” katanya kepada pemberita di Hanoi.
Pada masa sama, beliau berharap kejayaan dilakar kem terjun negara mampu menyuntik semangat barisan altet kebangsaan lain dalam mengharungi cabaran getir di Hanoi sekali gus dapat mengatasi sasaran 36 pingat emas yang ditetapkan.
Pada saingan hari ini, Nur Dhabitah menghadiahi pingat emas pertama Malaysia selepas mengungguli saingan final acara 1 meter (m) papan anjal wanita sebelum gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang menggandakan kegembiraan menerusi pingat emas acara 3m papan anjal seirama lelaki.
Kimberly Bong pula mencipta kejutan merangkul perak untuk mengiringi Nur Dhabitah di podium.
Sementara itu, pengurus skuad terjun kebangsaan Datuk Leong Mun Yee ternyata gembira dengan kualiti dipamerkan barisan penerjun negara yang komited untuk mencapai sasaran diletakkan kepada mereka.
“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan penerjun kita hari ini dengan Kimberly juga menunjukkan aksi terbaik dan pingat perak yang diraih adalah bonus kepada kita kerana tiada sasaran pingat spesifik untuknya.
“Saya harap persembahan ini dapat diteruskan pada hari seterusnya untuk memperoleh keputusan yang baik,” katanya.
Yi Wei dan Tze Liang pula berbangga kerana dapat mempertahan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2019 di Filipina.
Kem terjun akan meneruskan pemburuan pingat emas hari ini dengan Tze Liang dan Betrand Rhodict Anak Lises menggalas cabaran negara dalam acara 1m papan anjal lelaki sementara pasangan Ng Yan Yee-Ong Ker Ying bertanding dalam acara 3m papan anjal seirama wanita.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai