Skip to main
Logo Malaysiakini

Piala Thomas: Jepun bukan pada prestasi terbaik - Joo-Bong

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peluang untuk menewaskan Jepun dalam pusingan Akhir Piala Thomas kali ini akhirnya terbuka buat Malaysia, susulan pasukan itu tidak pada prestasi terbaik mereka untuk memberi tentangan kuat.

Skuad Piala Thomas negara perlu memanfaatkan kelebihan ini sebaiknya untuk muncul juara kumpulan dalam perlawanan akhir Kumpulan D berdepan skuad ‘The Samurai’ itu di Impact Arena di sini, esok.

Ketua jurulatih Jepun Park Joo-bong memaklumkan jaguh mereka Kento Momota tidak pada tahap terbaiknya, manakala perseorangan kedua mereka Kenta Tsuneyama baru sahaja sembuh daripada kecederaan pergelangan tangan.

Katanya, situasi berkenaan mungkin memusnahkan harapan mereka untuk merangkul kejuaraan kali kedua Piala Thomas selepas menundukkan Malaysia 3-2 pada final 2014 di New Delhi.

“Pada saya ini bukanlah pasukan terbaik kami. Kami juga tidak mempunyai cukup masa untuk membuat persediaan memandangkan Momota tidak pada kondisi terbaik beliau manakala Tsuneyama baru saja sembuh daripada kecederaan,” katanya ketika ditemui di venue kejohanan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu dalam kejohanan badminton berprestij itu adalah pada edisi sebelum ini di Aarhus, Denmark yang menyaksikan Jepun menundukkan Malaysia 4-1 dalam perlawanan Kumpulan D.

Dalam edisi kali ini, kedua-dua Jepun dan Malaysia adalah pasukan pilihan untuk melangkah ke suku akhir setelah sekali lagi diundi dalam kumpulan yang sama.

Jepun bermula cemerlang dengan menewaskan Amerika Syarikat 5-0 manakala Malaysia mengetepikan England dengan kutipan mata sama pada perlawanan kumpulan semalam.

Sementara itu, jurulatih dari Korea Selatan tersebut mengakui bahawa skuad Piala Uber Jepun juga bukan pada prestasi terbaik mereka bagi menghadapi kejohanan tersebut kerana isu yang sama.

“Pemain nombor enam dunia Nozomi Okuhara baru saja pulih daripada kecederaan manakala seorang pemain beregu utama kami Sayaka Hirota baru selesai menjalani pembedahan akibat kecederaan.

“Secara keseluruhan, pandangan saya skuad ini bukanlah yang terbaik tetapi kami akan mencuba sebaik mungkin,” tambahnya.

Skuad Piala Uber Jepun mengalahkan Jerman 5-0 dalam perlawanan Kumpulan A Ahad lepas.

- Bernama