Harimau Malaya tundukkan Laos 3-1
Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan berjaya melunaskan dendam ke atas Laos dengan kemenangan 3-1 pada perlawanan Kumpulan B saingan acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Vietnam malam ini.
Malah, kemenangan kedua berturut-turut saingan kumpulan itu sekali gus menutup keraguan yang timbul terhadap kemampuan pasukan negara menjelang aksi berkenaan, susulan keputusan mengecewakan dicatat mereka pada dua pertemuan terakhir berdepan Laos.
Kejayaan skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney mengumpul tiga mata lagi membolehkan Malaysia menerajui saingan kumpulan dengan mengumpul enam mata selain mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengatasi Thailand 2-1 pada aksi sulung, Sabtu lepas.
Pasukan negara yang masih segar dengan kemenangan itu, bagaimanapun memulakan perlawanan dengan perlahan dan buntu mencipta peluang jaringan pada 30 minit pertama selepas banyak hantaran serta lorongan tidak berjaya melepasi kubu pertahanan Laos.
Namun, gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba enam minit kemudian menerusi penyudah penyerang muda KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin yang menerima hantaran rakan sepasukan di dalam kotak penalti, tenang menggelecek pertahanan lawan sebelum merembat bola yang menggegar jaring.
Jaringan pembukaan itu memberi tekanan kepada Laos yang mula membuka permainan dalam memburu gol penyamaan, namun sebaliknya peluang itu dimanfaatkan pemain tengah Muhamad Syahir Bashah untuk melepaskan rembatan dari luar kotak penalti bagi gol kedua negara pada minit ke-43.
Pada babak kedua, Malaysia semakin selesa mengawal permainan dan hampir mencetak gol ketiga apabila percubaan ketua pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-51 sedikit tersasar di penjuru kanan gawang Laos.
Laos yang semakin tertekan mula mengubah corak permainan kepada lebih agresif dengan banyak melakukan bentesan keras ke atas pemain negara, namun ia tidak sedikit pun melunturkan semangat skuad kendalian Maloney untuk menambah jaringan menerusi Luqman Hakim yang tidak dikawal pertahanan Laos untuk menyepak masuk hantaran lintang rakan sepasukan pada minit ke-67.
Sejurus meledak gol ketiga negara dan kedua peribadinya malam ini, Luqman Hakim terpaksa dibawa keluar dalam keadaan terhincut-hincut akibat kecederaan dialami dan digantikan dengan Muhammad Syafik Ismail.
Hasrat Malaysia mencatat kemenangan tanpa bolos tidak kesampaian apabila gawang pasukan negara dibolosi pada minit ke-85 menerusi sepakan penyerang gantian Laos, Visith Bounpaserth yang kelihatan seperti sudah terkeluar tetapi melencong masuk ke sudut kanan tiang gol Malaysia.
Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat sekali gus memberikan pasukan negara tonik terbaik bagi menamatkan baki saingan kumpulan menentang Singapura Sabtu ini dan Kemboja pada 16 Mei dalam usaha memburu tempat ke peringkat separuh akhir.
Kedua-dua aksi akan berlangsung di venue sama.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai