Skip to main
Logo Malaysiakini

PIALA THOMAS | Malaysia bakal dicabar India di suku akhir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia yang merupakan juara Kumpulan D diundi bertemu naib juara Kumpulan C , India, pada suku akhir Final Piala Thomas dalam undian yang berlangsung di Bangkok hari ini.

Malaysia kemudian akan berhadapan Korea Selatan atau Denmark sekiranya layak ke separuh akhir.

Undian hari ini juga menyaksikan juara bertahan, Indonesia, bertemu China yang seperti merupakan ulangan final tahun lepas, sementara juara Kumpulan C, Taiwan, akan menentang Jepun.

Mengulas mengenai undian ini, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Dr Tim Jones berkata skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran India kerana negara itu mempunyai barisan pemain yang mantap pada edisi tahun ini.

“Bagaimanapun, kami yakin selepas berhadapan dengan Jepun dan kami sedia untuk bertemu dengan sesiapa pun pada waktu ini.

"Ayuh ke suku akhir,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas sesi cabutan undian itu.

Skuad kebangsaan juga gembira menyaksikan kemenangan Malaysia ke atas Juara 2014, Jepun, terutamanya aksi hebat Lee Zii Jia menumpaskan Kento Momota yang dia percaya akan melonjakkan keyakinan pemain itu menjelang perlawanan suku akhir nanti.

Sementara itu, Zii Jia percaya perlawanan suku akhir kali ini adalah seimbang selepas beberapa pemain ternama seperti Kento dari Jepun dan wakil Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, bergelut dengan prestasi masing-masing ketika ini.

Terdahulu, Zii Jia mengatasi Momota 21-17, 21-8 untuk membantu Malaysia muncul Juara Kumpulan D selepas menewaskan Jepun 3-2.

Pada masa sama, ketua pasukan Aaron Chia yang bergandingan dengan bekas teman regunya dalam edisi 2018, Teo Ee Yi, menyumbangkan mata kemenangan Malaysia dengan mengatasi beregu Akira Koga-Yuta Watanabe, 22-20, 21-17 dalam perlawanan yang sungguh menarik.

- Bernama