Syasya Nadiah bidik emas pada penampilan sulung
Tanpa pengalaman luas, atlet menembak negara Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mencipta kejutan memenangi pingat emas 10 meter (m) air pistol wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA, hari ini.
Pada aksi final di Pusat Latihan Sukan Hanoi di Hanoi, penembak berusia 20 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor itu berjaya menampilkan konsistensi dalam setiap bidikan untuk mengumpul 239.3 mata sekali gus mengatasi pencabar lain.
Perak dimenangi penembak Thailand Tanyaporn Prucksakorn selepas mengumpul 238.7 mata sementara gangsa menjadi milik wakil tuan rumah Thu Vinh Trinh yang meraih 214.1 mata.
Ia adalah emas ke-35 kontinjen negara, berbaki tiga hari sebelum temasya sukan dwitahunan yang memasuki edisi ke-31 itu melabukan tirainya.
Kejayaan Syasya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu adalah emas kedua disumbangkan skuad menembak kebangsaan selepas Johnathan Wong turut membutirkan emas dalam acara 10m air pistol lelaki, semalam.
Beliau yang mengakui sedikit gementar berterima kasih kepada jurulatihnya Mohamad Firdaus Abd Rahim apabila tidak putus-putus memberikan sokongan seawal pusingan kelayakan, yang menyaksikan beliau menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Vin Trinh dan penembak Singapura Xiu Hong Teh.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih saya sebab bantu saya sejak awal sampai lah saya dapat pegang emas itu dengan tangan sendiri.
“Nak kata saya harap sangat pingat emas itu tidak, ia agak sukar sebab ramai atlet lain, jadi saya menangis (selepas menang) kerana saya dah buktikan kepada jurulatih saya dapat melakukannya,” katanya kepada pemberita.
Sebagai rekod, Syasya merangkul pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018 ketika berusia 16 tahun selepas hanya setahun menceburkan diri secara aktif dalam sukan menembak.
Seperti atlet lain, kemajuan beliau turut terjejas akibat pandemik COVID-19 yang menyaksikan beliau hanya sempat merasai pengalaman pertama kali beraksi di pentas antarabangsa pada Grand Prix (GP) Indonesia di Jakarta Februari lepas sebelum bertanding di Sukan SEA.
Dalam pada itu, dua lagi wakil negara Bibiana Pei dan Mumtazah Syahiidah Shamsuri masing-masing terkandas di pusingan kelayakan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai