Skip to main
Logo Malaysiakini

Sukan SEA: Banggakah kita dengan pencapaian 39 emas?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keputusan Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam baru-baru ini merupakan pencapaian terburuk sejak sukan itu diperkenalkan 63 tahun lalu, kata penganalisis sukan Dr Pekan Ramli.

Menurut Pekan, meskipun pencapaian negara memperoleh 39 pingat emas itu melepasi sasaran 36 pingat, ia tetap tidak boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan 525 acara daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Kita nak ucapkan tahniah ke? Nak banggakah dengan pencapaian 39 pingat emas tapi kita di kedudukan keenam.

“Maksudnya, kalau kita lihat fakta (perbandingan) antara 83 (Sukan SEA 1983) dengan Vietnam ni, sebenarnya pencapaian kita paling buruk dalam sejarah sejak 1959.

“(Kalau) orang bagi 40 tahun, saya tak, saya bagi 63 tahun,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sukan SEA 1983 yang disebut Pekan itu merujuk kepada kejohanan yang berlangsung di Singapura. Ketika itu Malaysia berada di tempat keenam dan berbeza dengan prestasi negara sebelum itu apabila kita sentiasa berada pada kedudukan lima teratas.

Pada Sukan SEA kali ini Malaysia memungut 39 emas, 45 perak dan 89 gangsa.

Di mana lubuk emas sebenarnya

Pekan berkata adakah rakyat negara ini boleh berasa seronok apabila sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.

Ketika ini katanya orang ramai diuar-uarkan dengan berita negara mencapai sasaran tanpa mengetahui bahawa secara bandingan berdasarkan fakta, ia adalah pencapaian paling buruk negara di kejohanan serantau berkenaan.

Tambah Pekan, sikap sambil lewa dalam menghadapi Sukan SEA sering berlaku di negara ini kecuali apabila Malaysia menjadi tuan rumah seperti pada 2001 dan 2017.

Hanya apabila Malaysia menjadi tuan rumah, katanya, negara ini menunjukkan prestasi yang membanggakan.

“Ini sebenarnya sukan paling rendah sekali di peringkat antarabangsa yang kita boleh hantar kontinjen besar dan yang boleh kita menggembirakan rakyat Malaysia,” katanya yang merujuk kepada peluang Malaysia untuk merangkul jumlah pingat emas yang banyak.

Untuk rekod, sebelum ini Malaysia sudah beberapa kalil menjadi tuan rumah dalam temasya yang diadakan secara bergilir-gilir itu. Sukan SEA pernah diadakan di negara ini 1965, 1971, 1977 dan 1989.

Gambar fail

Pekan juga mempersoalkan sikap kerajaan menanggapi Sukan SEA dan sama ada mereka menganggap temasya tersebut sebagai kejohanan biasa-biasa saja atau sebaliknya.

“Kalaulah kita tak serius, kita anggap Sukan SEA ni macam sukan biasa saja, tak penting sangat kononnya, (sebaliknya) fokus kepada Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

"Adakah Sukan Asia dan Sukan Olimpik tu lubuk emas kita?” soalnya.

Menurut Pekan, kegagalan yang dilakar skuad negara itu boleh dikaitkan dengan kegagalan kerajaan menyediakan program pembangunan untuk atlet yang lebih tersusun.

“Kita ni jarang nak mengaku kegagalan, kelemahan, dan kesilapan. Apa salahnya kita mengaku?

“Walaupun kita ada alasan kononnya Covid-19, tak ada pertandingan, kita tak dapat menilai kemampuan atlet-atlet negara lain, tetapi negara-negara lain pun sama juga (hadapi masalah) macam tu,” katanya.

Dia turut menyuarakan kebimbangannya terhadap prestasi Malaysia untuk Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Hal itu kerana, kata Pekan, biasanya juara keseluruhan merupakan negara yang menjadi tuan rumah.

“Apabila jadi tuan rumah, kita banyak advantage (kelebihan), misalnya kita susun acara-acara yang kita nak, kita susun bila kita nak menang pingat emas dan kita susun berapa banyak pingat emas yang kita boleh menang.

“Itu sebabnya kita jadi juara keseluruhan. Trend untuk juara keseluruhan ni pun memang kalau Thailand, Indonesia, Vietnam, mereka akan jadi juara keseluruhan, kecuali tak tahulah kalau Kemboja nanti.

“Kalau Kemboja nanti… ini sepatutnya dah jadi wake up call (prestasi Sukan SEA 2021) untuk kita sebab kita cuma di atas Myanmar, Kemboja, Laos, Timor Leste,” katanya.