Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Sukan SEA 2021: Berjaya dalam gagal?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sukan SEA 2021 telah pun melabuhkan tirainya dengan kontinjen Malaysia berjaya meraih pungutan pingat sebanyak 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa. Secara bertulis, kita berjaya mencapai lebih daripada sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 36 pingat emas. Tahniah diucapkan kepada semua wira-wira negara yang menyumbang dalam mengharumkan nama Malaysia. Bagaimanapun, 36 pingat emas sebenarnya sasaran terendah yang pernah kementerian tetapkan. Dengan jumlah pingat emas yang telah diperoleh, secara keseluruhan Malaysia berada pada kedudukan keenam antara 11 negara yang bertanding. 

Sebenarnya ini adalah kedudukan terendah buat kita sejak 63 tahun sukan dwitahunan ini diperkenalkan. Oleh itu, pencapaian kontinjen negara pada kali ini jika dibandingkan dengan prestasi Sukan SEA edisi sebelumnya (2019), merupakan tanda ‘kejatuhan’ untuk sukan berprestasi negara. Terdapat kurang lebih 17 sukan yang tidak berjaya menepati sasaran yang ditetapkan, ini termasuk pasukan pencak silat, renang akuatik, memanah, dan bola sepak. Bukankah sukan-sukan ini sepatutnya didominasi pasukan kita pada edisi-edisi sebelumnya? Persoalannya, dengan prestasi yang longlai ini, di manakah sebenarnya hala tuju sukan prestasi tinggi kita selepas ini? Adakah akan terus menerus begini? Mampukah kita menjana revolusi baharu untuk bangkit bukan sahaja hebat di rantau Asia Tenggara (Asean), tetapi juga mampu membutirkan pingat emas pertama Olimpik yang sudah sekian lama kita semua idam-idamkan? 

Prestasi sukan berprestasi tinggi negara kian merudum

Ada beberapa tanda mengapa sukan berprestasi tingi di negara ini menunjukkan sebuah kejatuhan. Pertama, sejak pasca Sukan Komanwel 1998, belum pernah lagi Singapura dan Filipina mendahului kita daripada segi kedudukan keseluruhan, kecuali semasa masing-masing menjadi tuan rumah pada tahun 2015 dan 2019. Tidak dinafikan negara mana jua yang menjadi tuan rumah, pasti beroleh sedikit kelebihan daripada segi pungutan pingat. Sama juga seperti Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah sebanyak dua kali pada tahun 2001 dan 2017–yang menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan pertama keseluruhan. Dalam konteks ini, menjadi tuan rumah bukanlah kayu ukur sebenar kualiti sukan berprestasi tinggi negara secara umum. Namun, sama juga seperti kita pada edisi kali ini, kedua-dua Singapura dan Filipina adalah pasukan tetamu kepada tuan rumah Vietnam. Bagaimanapun, kedua-dua negara kali ini dilihat jauh lebih baik berbanding kita. 

Kedua, kita dapat lihat dengan jelas kejatuhan ini jika dibuat perbandingan berdasarkan pencapaian kontinjen negara pada edisi-edisi terdahulu. Secara relatif, edisi kali ini memaparkan jumlah pungutan pingat emas yang terendah yang pernah kita peroleh. Daripada 37 acara yang disertai dengan jumlah atlet seramai 612 orang (satu jumlah yang ramai), kita cuma mampu raih 174 pingat dan 39 daripadanya adalah pingat emas. Apa yang menyedihkan, prestasi ini kali ini sebenarnya mengulangi kegagalan pada edisi sebelumnya (2019)–kita cuma peroleh 184 pingat dengan hanya 56 daripadanya pingat emas. Jumlah acara yang disertai pada tahun itu pula jauh lebih banyak iaitu 52 acara dengan jumlah atlet seramai 773 orang. Pada tahun tersebut, kita gagal melepasi sasaran 70 pingat emas yang ditetapkan dan menempatkan Malaysia di tangga kelima keseluruhan. 

Oleh itu, adakah dengan meletakkan sasaran jauh lebih rendah pada edisi kali ini (2021) merupakan ‘strategi’ yang tepat kerana kita takut kalah pada diri sendiri? Adakah hanya sekadar bermain dengan persepsi yang slogan “kita berjaya melepasi sasaran” cukup untuk semua pihak berpuas hati? Sedar atau tidak, dalam ‘kejayaan’ kali ini kita sebenarnya jatuh lebih teruk dari sebelumnya iaitu di tangga keenam keseluruhan. Belum pernah kita berada pada kedudukan serendah ini. Hakikatnya sekarang, kita terlalu longlai untuk bersaing dengan kehebatan negara-negara luar terutama untuk acara-acara yang kita dominan satu masa dulu. Jika berterusan begini, usah kata Olimpik, rantau Asean juga kita tidak mampu bersaing. Semakin jauh lah kita untuk mimpi menggenggam emas Olimpik pertama buat tanah air.

1998 tahun revolusi sukan pertama negara

Revolusi sukan negara yang pertama boleh dikatakan bermula pada tahun 1998. Pada masa itu, Kuala Lumpur dipilih untuk menjadi tuan rumah sukan Sukan Komanwel. Kurang lebih lima tahun sebelum acara berlangsung, pembangunan sukan tanah air berubah daripada pelbagai aspek. Bukan sahaja pembangunan tertumpu pada persediaan prasarana dan persiapan atlet, malah kerajaan juga mula membuka mata dengan menawarkan biasiswa sukan dan menghantar calon yang layak ke luar negara untuk mengambil jurusan pengajian sukan demi melahirkan lebih ramai jurulatih, pakar dan saintis sukan tempatan. Kita mula mengikut jejak negara-negara seperti Britain, Amerika Syarikat, Australia dan China yang terlebih dahulu memperkenalkan sains dan teknologi dalam meningkatkan prestasi atlet elit. Pada tahun 1995, Universiti Malaya memperkenalkan kursus pengajian sarjana muda sains sukan. Pertama kalinya di Malaysia. Ini kemudian diikuti oleh universiti-universiti lain.

Kesemua ini tidak lain adalah untuk mencorak masa depan yang cerah untuk industri sukan umumnya dan  atlet sukan berprestasi tinggi negara khasnya, supaya kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan gergasi-gergasi sukan dunia yang lain. Bermula dari revolusi ini jugalah Institut Sukan Negara ditubuhkan dalam hasrat memasukkan elemen sains seperti perubatan sukan, biomekanik, fisiologi dan pemakanan sukan demi memenuhi keperluan untuk melahirkan lebih ramai ‘super human’ Malaysia. Jika tugas doktor memulihkan orang sakit, saintis sukan pula tugasnya menukar orang sihat menjadi atlet yang hebat. Sukan bukan lagi dilihat sekadar ‘ambil but dan main’, tetapi ia lebih daripada itu. Sejak revolusi itu, kita semua sedar bahawa untuk memegang pingat Olimpik, persediaan rapi dari dalam dan luar harus lengkap dan teratur. Melalui ini, banyak jaguh-jaguh dunia telah berjaya kita lahirkan. 

Pantas masa ke hadapan, negara kita melahirkan ramai pakar sukan bertaraf dunia yang kebanyakannya bertugas di universiti tempatan. Sebagai contoh, pada tahun 2019 hingga 2021, Universiti Malaya diiktiraf sebagai 100 universiti terbaik dunia yang menawarkan program pengajian sains sukan serta mempunyai impak kajian yang bertaraf dunia. Apa yang membanggakan, Universiti Malaya merupakan satu-satunya negara di rantau Asean yang tersenarai dalam ranking tersebut. Kriteria bagi ranking ini salah satunya adalah penerbitan kajian-kajian berkaitan sukan yang berimpak tinggi. Namun entah di mana silapnya, prestasi pakar-pakar kita tidak begitu mencerminkan prestasi atlet negara yang saban tahun semakin merudum. Tidakkah kita sedar kita masih longlai jika bertanding di kalangan atlet dari negara tetangga. Berbeza dengan Britain, Amerika Syarikat, Australia dan China sebagai ‘pioneer’ sains sukan, menunjukkan prestasi atlet yang sentiasa cemerlang. Dalam perbandingan ini, seperti ada yang tidak kena dengan sistem yang kita amalkan kita bukan? Di mana silapnya?

Revolusi sukan untuk rejuvinasi semula prestasi 

Faktor implementasi prinsip sains dalam prestasi sukan cuma sebahagian daripada keseluruhan pencapaian atlet dalam kejohanan besar. Tentunya amat simplistik jika cuma faktor ini sahaja yang perlu diambil kira dan dibuat rumusan akan longlainya persembahan kontinjen negara pada Sukan SEA 2021. Bagaimanapun keterbukaan badan-badan persatuan sukan dalam menerima elemen sains dalam meningkatkan prestasi atlet juga dipercayai merupakan kunci utama elemen sains ini dapat diterapkan untuk meningkatkan prestasi sukan tertentu. Ini termasuk ketelusan dalam pemilihan bakat, penglibatan pakar dalam merangka latihan dan strategi pertandingan dan peranan nutrisi dan psikologi atlet dalam tempoh sebelum, semasa dan selepas pertandingan. Selain itu, bagaimana teknologi sukan dapat dibangunkan setara dengan revolusi industri dari bidang-bidang lain yang berkaitan supaya tidak ketinggalan juga wajar diteliti. Hubungan antara universiti-universiti dengan badan-badan sukan juga seharusnya dimulakan. Wujudkan ISN di universiti-universiti terpilih untuk rancakkan lagi kajian-kajian sains sukan yang mana seterusnya diaplikasikan terus kepada atlet. Ini sudah lama diamalkan di Britain. Pusat latihan sukan-sukan tertentu bagi persediaan atlet juga wujud di universiti-universiti di Britain dan Australia. Dibahagikan mengikut kepakaran universiti berkenaan. Tidak salah untuk kita ambil model tersebut.

Daripada aspek kewangan, penajaan dilihat antara jalan untuk atlet individu atau persatuan sukan boleh memenuhkan kantung bagi tujuan pembangunan sukan tertentu. Persatuan-persatuan sukan harus aktif mendapatkan dana dari luar bagi disalurkan kepada perkembangan atlet. Apa yang penting, audit kewangan perlu dilakukan secara berkala bagi mengekang penyelewengan.

Secara kolektif, Malaysia memerlukan revolusi sukan yang terbaharu untuk memastikan sukan di Malaysia tidak terus layu. Selari dengan Revolusi Industri keempat, kerajaan seharusnya memikirkan juga bagaimana industri sukan tanah air dapat dimanfaatkan dan memanfaatkan negara. Sukan merupakan satu industri yang besar dan menjaminkan. Dengan kelebihan sumber-sumber yang ada dalam negara, termasuk prasarana, pakar, dan jurulatih, kita sebenarnya tiada alasan untuk ‘kalah’ kepada atlet-atlet jiran. Semua sumber-sumber ini perlu diurus dengan bijak. Jika tidak, masakan atlet Filipina yang berlatih saban hari selama dua tahun di Melaka mampu meraih emas Olimpik pertama untuk negaranya. Jika genetik adalah faktor, kita dan orang Filipina sama. Tetapi mengapa mereka mula mendahului kita? Saya pasti anda boleh duga jawapannya.


MOHAMED NASHRUDIN NAHARUDIN adalah pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya. 

Tulisan ini pandangan peribadinya dan tidak melibatkan mana-mana kepentingan pihak lain.