Skip to main
Logo Malaysiakini

Harimau Malaya tewaskan Turkmenistan 3-1

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Malaysia menang perlawanan pertama Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan, malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol pertama perlawanan dijaringkan penyerang Harimau Malaya Safawi Rasid pada minit ke 11, diikuti Faisal Halim pula yang menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit ke 16.

Pintu gol Malaysia pula dibolosi jaringan Aktymyrat Annadurdiyew pada minit ke 38, untuk merapatkan saingan.

Pun begitu, Turkmenistan tidak dapat terlalu selesa dengan gol pertamanya apabila Malaysia menjaringkan gol ketiganya pada minit ke 47 separuh masa pertama oleh La'Vere Corbin-Ong.

Jaringan kekal 3-1 sehinggalah wisel penamat perlawanan.

Harimau Malaya kali terakhir dilihat dalam saingan pusingan akhir kelayakan Piala Asia pada 2007 tetapi tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas ketiga-tiga perlawanan.

Jurulatih asal Korea Selatan, Kim Pan-gon telah membina momentum menjelang kempen kelayakan Malaysia dengan kemenangan dua perlawanan persahabatan, 4-0 menentang Brunei dan 2-0 ke atas Hong Kong.

Turkmenistan layak ke pertandingan edisi 2019 di UAE, tetapi tidak dapat melepasi perlawanan peringkat kumpulan selepas gagal meraih walau satu matapun.

Turkmenistan berada dalam kedudukan 20 anak tangga lebih tinggi dari Malaysia yang berada pada tangga 134 ranking bola sepak dunia.

Turkmenistan dan Malaysia tidak pernah bertemu dalam mana-mana perlawanan sebelum ini