Skip to main
Logo Malaysiakini

Damok raih tempat kedua di dua perlumbaan Barcelona

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelumba negara, Syarifuddin Azman meraih tempat kedua berganda pada Kejuaraan Dunia Junior GP di Litar de Barcelona di Sepanyol, hari ini.

Perlumba berusia 20 tahun mewakili SIC Racing itu, pada mulanya merangkul tempat kedua pada Perlumbaan 1 dengan mencatatkan masa 29 minit 29.888 saat (s), ketinggalan 11.364s di belakang pemenang perlumbaan, Jose Antonio Rueda dari Sepanyol.

Pelumba Itali, Filippo Farioligas (29:29.990s) melengkapkan podium manakala seorang lagi pelumba Malaysia, Danial Syahmi Ahmad Shahril (29:39.973s) hanya berjaya menamatkan saingan di tempat ke-14, menurut keputusan dalam laman web rasmi.

Kembali dalam Perlumbaan 2, pemenang podium kekal tidak berubah dengan Syarifuddin yang lebih dikenali sebagai Damok mencatatkan masa 29:39.669s, sekali lagi menamatkan perlumbaan jarak 74.5km di belakang Jose (29:31.508s) sementara tempat ketiga disandang oleh Filippo dengan catatan masa 29:40.094s.

Danial Syahmi, yang berlumba untuk Asia Talent Team, tidak dapat menamatkan perlumbaan.

“Perlumbaan 1 tadi agak sukar pada awalnya kerana Rueda dah mencapai jarak yang selesa, saya cuba untuk mengekalkan rentak dan habiskan perlumbaan, sebelum berjaya mendapatkan kedudukan kedua selepas bersaing dengan tiga pelumba.

“Pada Perlumbaan 2, Rueda sekali lagi dah pergi depan, saya cuba kejar tetapi pelumba lain cuba untuk memintas saya, membuatkan jurang jarak menjadi lebih besar.

"Saya sangat gembira dengan keputusan ini, dua piala ini untuk anda semua rakyat Malaysia,” kata Damok.

- Bernama