PM: Imbuhan untuk skuad Harimau Malaya akan dibincang dengan FAM
Kerajaan akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung imbuhan yang akan diberikan kepada pasukan Harimau Malaya selepas berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata bentuk imbuhan yang akan diberikan kerajaan bakal ditentukan dalam pertemuan bersama FAM.
Katanya pasukan negara dijangka akan lebih banyak menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Asia tahun depan.
"Saya akan bincang dengan menteri belia dan sukan serta FAM , jadi kita tak tahu, adakah imbuhan akan diberi, kalau ada, akan kasi terus kepada FAM atau pemain," katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Skuad kebangsaan berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Asia secara merit selepas berjaya menumpaskan Bangladesh 4-1.
Ia sekali gus menamatkan penantian lebih 40 tahun.
Kali terakhir pasukan negara berjaya melayakkan diri ke Piala Asia ialah pada tahun 1980.
Ismail berkata, selain Harimau Malaya, pasukan hoki negara yang layak ke piala dunia juga perlu diberikan imbuhan.
"Jadi, apa bentuk imbuhan akan dibincang dengan presiden FAM dan presiden hoki," katanya lagi.
Mengulas mengenai usaha membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil, Ismail berkata kabinet telah lama meluluskan peruntukan bagi tujuan itu.
"Mulai semalam padang (stadium) ditutup untuk pembaikan, saya harap tak ada isu tentang padang kerana kabinet dah setuju, sudah lama diluluskan untuk dibaik pulih padang," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai