Kenangan indah kanak-kanak 8 tahun berganding dengan Thierry Henry
Hanya mengenali pemain bola sepak Thierry Henry melalui televisyen, kanak-kanak berusia lapan tahun Mitrran Vijey tidak sangka mendapat peluang untuk bergandingan bersama legenda Perancis itu bagi sebuah klip video lagu sempena Piala Dunia 2022 di Qatar.
Video berjudul Be Like Him berdurasi lima minit dan 46 saat yang disiarkan pada bulan lepas telah mendapat lebih 5.6 juta tontonan di platform Youtube.
Menurut Mitrran, ia adalah pengalaman tidak dapat dilupakan dan menjadi kenangan manis sepanjang hayatnya apabila dapat bertemu secara dekat serta melakonkan aksi dan skil bekas pemain Arsenal dan Barcelona itu.
“Sewaktu menjalani penggambaran, terdapat beberapa adegan saya dikehendaki melakonkan beberapa aksi dan skil bola sepak oleh legenda itu dan terdapat satu babak menjerit kepada beliau dan ketika itu saya berasa takut dan bimbang sekiranya buat dia berasa marah.
“Henry seorang yang baik dan saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tandatangan, bergambar dan memberikan cenderahati berbentuk bangunan Menara Berkembar Petronas kepadanya selepas tamat sesi penggambaran berkenaan,” katanya ketika ditemui di Wisma Bernama baru-baru ini.
Henry, 44, terkenal sebagai penyerang terbaik sepanjang masa dengan aksi jaringan menggerunkan pihak lawan pernah membantu Perancis muncul juara Piala Dunia 1998, dan kini jurulatih pasukan Belgium.
Sementara itu bapa Mitrran, Vijey Esvaran, 45, berkata penglibatan anaknya dalam penggambaran bersama Henry seolah-olah sebuah mimpi.
“Pada mulanya satu produksi telah datang ke Junior FM Football Academy dan meminta pelajar-pelajar untuk menghantar satu video berdurasi dua minit mengandungi adegan sedih, takut, marah dan beberapa aksi lain.
“Pemilihan ini berlangsung pada awal bulan Mac lepas, selepas itu Mitrran terpilih untuk ke peringkat seterusnya dan terdapat satu sesi uji bakat secara fizikal pula,” katanya.
Jelas Vijay lagi, Mitrran terpilih daripada 10 kanak-kanak lain sebagai watak utama dalam kilp video lagu berkenaan dan memulakan sesi penggambaran selang beberapa hari kemudian di Rawang, Selangor dan seterusnya di London pada April lepas.
“Di sana kami menjalankan penggambaran di Stadium Hype London dalam keadaan cuaca yang begitu sejuk dan berangin, bagaimanapun Mitrran berjaya menyudahkan lakonan berkenaan dengan jayanya,” katanya.
Karya berkenaan adalah hasil daripada artis Hip Hop Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, turut disertai oleh penyanyi dari Sarawak Priscilla Abby.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai