Skip to main
Logo Malaysiakini

Ten Hag masih berminat terus dapatkan khidmat Maguire

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Manchester United menolak tawaran Barcelona yang dilaporkan berminat menandatangani kapten The Red Devils, Harry Maguire, untuk memperkukuh pasukan gergasi berkenaan.

Menurut The Mirror, Barcelona cuba untuk membawa Maguire ke Camp Nou dan sebagai balasan, mereka boleh bersetuju melepaskan Frenkie de Jong ke Old Trafford.

Ketua jurulatih MU Erik ten Hag berkata dia melihat Maguire masih ada potensi untuk dikekalkan dan kelab terbabit memerlukannya untuk projek mereka pada musim hadapan.

Maguire sendiri dikatakan bertekad untuk membuat penambahbaikan dan ingin kekal di Theatre of Dreams.

Walaupun Maguire menerima kritikan yang dahsyat atas prestasinya musim lalu, pengendali Barcelona, Xavi, mengidamkan pemain pertahanan berkenaan.

Hal itu kerana Xavi yakin barisan pertahanan yang dimiliki Barcelona sekarang agak rapuh dan memerlukan sokongan sesegera mungkin.

Perpindahan Maguire ke MU dari Leicester City pada jendela perpindahan musim 2019/20 dengan nilai bayaran £80 juta menjadikan dia pemain pertahanan termahal dalam sejarah dunia bola sepak.

Sementara itu, de Jong mendapat tumpuan ten Hag ekoran sejarah mereka bekerjasama ketika di Ajax.

Ten Hag dilaporkan juga telah bercakap secara peribadi dengan pemain tengah Barcelona itu dan membentangkan prospek yang boleh dikecapi jika mereka sekali lagi bekerjasama.

Dia yakin de Jong adalah kunci yang diperlukan untuk memastikan jentera tengah MU dapat berfungsi dengan baik.

MU kini semakin hampir untuk melihat de Jong beraksi di Liga Perdana Inggeris dengan bayaran asas £55 juta. Jika dicampur dengan bonus ia boleh mencecah £69 juta.