Skip to main
Logo Malaysiakini

S Sivasangari stabil lepas terlibat kemalangan - Ahmad Faizal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu menziarahi pemain skuasy wanita nombor satu negara, S Sivasangari yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya MEX semalam.

"Beliau kini dalam keadaan stabil ditemani ahli keluarganya. Pihak Hospital Putrajaya juga telah memberi jaminan Sivasangari akan dipantau dengan begitu rapi," katanya pada satu hantaran di media sosial hari ini.

Sivasangari antara sandaran utama menyumbang pingat buat Kontinjen Malaysia bagi Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Beliau juga telah dinamakan sebagai pembawa Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia untuk temasya tersebut.

Paling kurang tiga bulan untuk sembuh

"Ketika ini, ada kemungkinan Sivasangari tidak dapat beraksi mewakili negara ke Temasya Sukan Komanwel.

"Pihak MSN dan ISN akan memantau perkembangan dan akan berbincang dengan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) untuk menentukan status penyertaannya nanti," kata Ahmad Faizal sambil mendoakan kesembuhan segera buat atlet itu.

Dalam perkembagan berkaitan, Bernama melaporkan Ahmad Faizal berkata atlet kelahiran Kedah itu perlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.

“Status Siva (Sivasangari), dia sedar dan Alhamdulillah saya sempat berikan kata-kata perangsang dan sokongan kepada beliau…ibu bapanya juga berfikiran positif dan riak wajah Siva juga positif. Gembira beliau ada semangat yang begitu kental.

“Apabila saya mengetahui tentang ini, saya sangat bimbang, tapi apabila saya berbincang dengan pakar perubatan dan doktor yang begitu cekap merawat, mereka berkata keseriusan kecederaannya boleh sembuh, jadi saya rasa lega,” katanya

Pemain nombor 19 dunia itu dilapor cedera di kepala dalam kemalangan di Lebuhraya Maju semalam.

Sivasangari berada di tempat duduk penumpang ketika kereta yang dinaikinya terbabit dalam pertembungan dengan sebuah lori, menurut laporan NST.

Wanita itu sempat dikeluarkan dari kereta sebelum ia terbakar dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk menjalani pembedahan.