Skip to main
Logo Malaysiakini

Komanwel: Dhabitah antara disebut pembawa Jalur Gemilang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ratu terjun negara Nur Dhabitah Sabri, antara nama disebut-sebut sebagai pembawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi menggantikan pemain skuasy wanita S. Sivasangari yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 Datuk Shahrul Zaman Yahya bagaimanapun berkata perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam masa terdekat sebelum tarikh akhir ditetapkan pada 15 Julai depan.

“Ada kemungkinan Nur Dhabitah yang akan menggantikan beliau (Sivasangari) namun semuanya akan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah yang dipengerusikan Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria,” katanya.

Shahrul Zaman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-25 Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh hari ini.

Sivasangari yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, mengalami kecederaan di kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada 3.46 pagi Ahad.

Atlet berusia 23 tahun itu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.

Mengulas lanjut, Shahrul Zaman berkata mesyuarat itu juga dijangka membincangkan berhubung semakan semula sasaran tujuh pingat emas berikutan penarikan diri jaguh perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia daripada menyertai temasya sukan itu.

“Kita perlu berdiri di bumi yang nyata apabila kehilangan prospek pingat dengan penarikan diri Lee Zii Jia.

“Namun, kita menaruh harapan kepada semua yang telah melayakkan diri ke Birmingham untuk menyumbang pingat, cuma kita tumpukan pada unjuran berapa yang kita boleh capai termasuk berdasarkan kepada pencapaian pada Sukan Komanwel empat tahun lepas,” katanya.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadual berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

- Bernama