Skip to main
Logo Malaysiakini

Dana RM787j bukan untuk roboh Stadium Shah Alam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Amirudin Shaari menjelaskan peruntukan RM787 juta yang disediakan kerajaan negeri bukanlah untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina stadium baru.

Sebaliknya kata Menteri Besar Selangor itu peruntukan tersebut digunakan bagi menaik taraf Kompleks Sukan Shah Alam.

Katanya, kerja-kerja itu termasuklah menaik taraf Stadium Tertutup Malawati.

"Ramai menyangka RM787 juta itu untuk membina stadium baru, ini tidak benar. Ada juga yang mempersoalkan kenapa jumlah yang besar diperlukan untuk membaiki stadium.

"Ini kerana ia termasuk kos menaikkan keseluruhan platform stadium sebanyak 1.5 meter bagi mengelak kejadian banjir berulang, dan kos pendawaian semula, menukar struktur bumbung dan merobohkan struktur bumbung sedia ada,” katanya.

Amirudin berkata Stadium Shah Alam berada dalam keadaan buruk selepas banjir melanda kawasan terbabit pada 2006, 2015 dan 2021.

Menurutnya, kerajaan telah membelanjakan RM56 juta untuk membaiki bumbung, bilik persalinan, pendawaian dan saliran air sejak 2013 dan keputusan menaik taraf stadium itu diambil berikutan kos pembaikan semakin meningkat.

"Naik taraf itu juga tidak melibatkan dana negeri dan akan memfokuskan kepada teknologi hijau bagi memberi imej baru kepada Stadium Shah Alam.

"Ini adalah era baru dan detik bersejarah bagi seluruh warga Selangor,” katanya.

Terdahulu Pengerusi Umno Selangor Noh Omar berkata kerajaan negeri kurang memberi perhatian terhadap stadium itu sejak BN Selangor tumbang pada 2008.

"Sama ada membina semula dan merobohkan atau memindahkan pengurusan kepada pihak swasta, ini menunjukkan kerajaan negeri tidak mampu menguruskan stadium dan ini adalah kegagalan di pihak mereka.

"Kalau stadium pun tak boleh, macam mana nak urus negeri," katanya seperti dilaporkan.