Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada acara terjun wanita: Sim gesa k'jaan pandang serius kenyataan Pandelela

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong menggesa kerajaan memandang serius kenyataan ratu penerjun negara Pandalela Rinong berhubung ketiadaan acara melibatkan perenang wanita dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, September depan.

Sim yang merupakan bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berkata, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu perlu memberi perhatian kepada sektor sukan yang menurutnya dalam "krisis" sejak penularan wabak Covid-19.

“Amat tidak masuk akal kita kekurangan penyertaan terutama dalam sukan terjun kategori wanita, sedangkan negara kita pernah menjadi juara dunia dengan ratu terjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hong yang pernah memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik, dan atlet-atlet terjun wanita kita seperti Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri turut pernah memenangi pingat dalam Kejohanan Dunia.

“Menteri Belia dan Sukan harus memberikan penjelasan terhadap kenyataan Pandelela Rinong dan tidak boleh memandang ringan kenyataan seorang atlet kebangsaan yang mempunyai banyak pengalaman dalam sukan sepertinya," kata Sim dalam kenyataan semalam.

Dalam ciapannya pada dua hari lalu, Pandelela mendakwa terdapat alasan politik di sebalik tiadanya acara melibatkan perenang wanita dalam temasya Sukma, dan mengingatkan bahawa campur tangan politik tidak harus terlibat dalam sukan.

Pandelela Rinong

Selain acara terjun wanita, turut tidak akan diadakan pada Sukma akan datang atas sebab penyertaan yang kurang menggalakkan adalah 1m papan anjal, 3m papan anjal, 10m platform, 3m papan anjal seirama dan 10m papan anjal seirama. Kesemuanya melibatkan kategori wanita.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker dalam penjelasannya berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma telah mengurangkan syarat minimum penyertaan lapan negeri kepada enam negeri.

Namun setelah tarikh tutup penyertaan 30 Jun, katanya lagi, masih ada beberapa acara yang tidak layak dipertandingkan kerana tidak mencapai penyertaan enam negeri.

Senada dengan Pandelela, Sim mempersoalkan jika ada sabotaj terhadap sukan terjun yang menurutnya antara prospek pingat emas Olimpik bagi negara.

“Adakah pihak-pihak tertentu yang berpengaruh tidak inginkan atlet wanita kita menyertai acara terjun di Sukma?" katanya lagi.

Untuk rekod, Sim sebelum ini pernah mengkritik beberapa keputusan kerajaan berhubung sukan, antaranya pemotongan peruntukan dalam Belanjawan 2022 serta keputusan menghentikan atau mengurangkan elaun kepada sejumlah atlet negara.