Silat: Saya yang suruh Adib tarik diri - Megat Zulkarnain
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata tindakan beliau mengarahkan Mohammad Khairi Adib Azhar menarik diri ketika perlawanan akhir Kelas B Putera pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 petang tadi adalah wajar.
Katanya sebagai Presiden Pesaka, beliau perlu mempertahan pesilat negara itu dan mengambil tanggungjawab atas keputusan tersebut memandangkan apa yang dilakukan adalah mengikut peraturan yang dibenarkan atas sebab-sebab yang difikirkan munasabah.
Insiden tegang tercetus selepas pesilat negara berusia 20 tahun itu menarik diri ketika menentang Aniq ‘Asri Mohammad Yazid dari Singapura yang ketika itu mendahului 16-7 selepas tidak berpuas hati dengan pemarkahan juri sepanjang perlawanan berlangsung.
Beliau berkata seluruh rakyat Malaysia malah penonton di gelanggang boleh melihat begitu banyak serangan yang jelas tidak dikira malah skor pesilat negara itu di papan markah elektronik langsung tidak bergerak walaupun banyak melakukan pukulan, serangan dan tendangan.
"Semua itu dilakukan bukan ditepis ataupun serangan melindungi diri sebaliknya disertakan bunyi dan keadaan jelas seperti lawannya berundur ke belakang yang membuktikan ada pergerakan.
"Apabila semua itu tidak dikira, ia tidak baik untuk Adib sebab dalam keadaan satu minit yang tinggal dan keadaan emosinya yang tahu skornya tidak bergerak maka Adib akan membuat serangan yang akhirnya lebih banyak kesilapan akan terjadi," katanya.
Megat Zulkarnain berkata demikian pada sidang media bagi mengulas insiden kekecohan di Arena 1 apabila beliau mengarahkan Muhammad Adib turun dari pentas gelanggang seminit sebelum perlawanan tamat.
Insiden itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan kem kontinjen Malaysia dan penyokong yang berada dalam Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) kira-kira 15 minit termasuk ada botol minuman dilempar ke tengah gelanggang dari tempat penonton.
Mengulas lanjut, beliau berkata pasukannya telah menghantar bantahan rasmi dan turut memohon perlawanan semula antara kedua-dua pesilat.
"Kita sudah hantar bantahan rasmi dan mungkin memohon perlawanan semula kepada Delegasi Teknikal Antarabangsa (ITD).
“Sama ada mereka terima atau tidak, kita tunggu dan bersedia terima sebarang keputusan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai