Skip to main
Logo Malaysiakini

Air naik - Ridzwan tunggu Messi dulu, pindah kemudian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika air banjir mula naik di dalam rumahnya di Kampung Alur Ladang di Kuantan, Pahang malam tadi, Mohd Ridzwan Ismail, 58 begitu berat hati untuk berpindah ke pusat pemindahan.

Ini kerana dia tidak sanggup terlepas menonton perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dan Perancis.

Walaupun air naik ke paras 0.3 meter ketika perlawanan bermula pada pukul 11 malam, peminat tegar Argentina dan Lionel Messi itu kekal di rumahnya sehingga separuh masa.

Ketika itu, dia bersendirian di rumah kerana isterinya Wan Nor Azian Wan Ibrahim, 61, memutuskan untuk bertolak ke pusat pemindahan lebih awal.

Gambar hiasan.

"Saya tinggal bersendirian di rumah ketika itu semata-mata mahu menonton Piala Dunia.

"Namun, apabila air semakin tinggi, saya berpindah ke rumah anak saudara yang terletak tidak jauh dari rumah untuk menonton perlawanan bola sepak itu sehingga habis, termasuk acara penyampaian hadiah,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di pusat pemindahan di Beserah hari ini.

Ridzwan menyaksikan perlawanan akhir, yang masuk ke masa tambahan dan kemudiannya diputuskan menerusi sepakan penalti, sehingga majlis penyampaian hadiah berakhir sebelum menuju ke pusat pemindahan.

"Saya berpuas hati apabila pasukan pilihan saya berjaya merangkul juara Piala Dunia dan pemain kegemaran, Messi dapat menjaringkan dua gol dalam perlawanan terbabit,” tambahnya.

Menurut Ridzwan, air banjir mula meresap masuk ke dalam rumahnya kira-kira jam 9 malam melalui pintu dapur dan pada jam 2 pagi, sedalam satu meter.

"Arus air naik tidak terlalu laju sebab itu saya tidak begitu runsing menonton bola dalam banjir.

"Malah, saya sudah biasa dengan banjir, tiap tahun rumah ditenggelami air.

"Cuma banjir tahun ini saya rasa paling teruk sejak 22 tahun tinggal di sini,” katanya.

Dia berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah banjir.