Skip to main
Logo Malaysiakini

Konsert atau bola? Yeoh minta Fayhsal rajin buat semakan fakta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas 'membentak' kerajaan dalam isu kekangan tempat duduk di Stadium Bukit Jalil menjelang perlawanan penting Harimau Malaya menentang Thailand esok, petang ini menteri terbabit membalas keresahan Pemuda Bersatu (Armada) berkenaan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan politik, Ketua Armada Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, harus rajin membuat semakan terlebih dulu.

Kata Yeoh seseorang menteri tidak boleh menyalahgunakan kuasa yang ada padanya.

Menegaskan tiket untuk konsert Jay Chou itu sudah terjual sehingga 45,000 langkah memindahkan lokasinya adalah tidak wajar, terutama apabila tempat yang dicadangkan Wan Ahmad Fayhsal itu menyediakan kapasiti jauh lebih rendah daripada itu.

"Konsert Jay Chou itu world tour dan 45,000 tiket sudah dijual. Axiata Arena hanya boleh muat 13,000 orang," katanya melalui media sosial hari ini.

Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal mendesak Yeohj menggunakan kuasanya untuk 'mengorbankan' konsert penyanyi Taiwan terbabit - yang dijadual berlangsung 15 Jan ini - demi Harimau Malaya.

Wan Ahmad Fayhsal

Skuad kebangsaan akan bertemu Thailand di Stadium Bukit Jalil pada malam esok dalam perlawanan separuh akhir pusingan pertama Piala AFF 2023.

Ekoran struktu yang sudah dibina sebagai persediaan konsert berkenaan, sebanyak 21,000 tempat duduk tidak boleh dibuka kepada penonton.

Kata Wan Ahmad Fayhsal pada separuh akhir Piala AFF 2018, seramai 87,545 penyokong hadir menyaksikan perlawanan berkenaan di stadium tersebut.

"Kenapa konsert hiburan oleh penyanyi Taiwan ini begitu penting berbanding maruah sukan negara dan kemahuan penyokong Harimau Malaya?

"Di saat kita ingin pupuk perpaduan dan patriotisme negara melalui sukan khususnya bola sepak, boleh pula diberi alasan sebegitu," katanya.

Justeru ahli parlimen Machang itu mencadangkan konsert berkenaan diadakan di tempat lain, seperti Axiata Arena.

Semalam Yeoh memberitahu penganjur konsert berkenaan menempah Stadium Bukit Jalil sejak 2019 lagi.

"(Sebelum) Nak keluarkan kenyataan politik, kena rajin check fakta dulu," ciap Yeoh hari ini.