Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ kini penasihat belia Johor, ahli lembaga pengarah JDT

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kini sah menyertai kelab bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Perkara itu disahkan kelab berkenaan pada satu kenyataan menerusi akuan Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno itu dilantik sebagai sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah JDT dan juga penasihat belia Johor.

"JDT ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy Jamaluddin atas perlantikan beliau sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah JDT selepas diumumkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"JDT turut mengucapkan tahniah kepada Khairy atas pelantikan beliau sebagai penasihat belia Johor," kata kelab itu.

Sementara itu, Khairy melalui kemas kininya di Facebook turut mengumumkan penyertaannya bersama pasukan JDT.

"Menjunjung setinggi-tinggi kasih terhadap Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, atas perkenan Tuanku melantik saya sebagai penasihat belia Johor dan ahli lembaga pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim.

"Saya amat teruja untuk menyertai kelab JDT FC yang merupakan kelab bola sepak terbesar di Asia Tenggara serta mempamerkan prestasi yang cemerlang pada setiap musim perlawanan," katanya.

Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan turut berjanji akan menyumbangkan pengalamannya bagi merealisasikan hasrat Sultan Ibrahim menjadikan JDT FC kelab bolasepak paling unggul di benua Asia.

"Di samping itu, saya juga akan membantu merealisasikan hasrat Tunku Mahkota Johor dalam memperkasakan belia Bangsa Johor melalui pendidikan, latihan, keusahawanan, kebajikan dan juga memberi perlindungan yang sewajarnya kepada remaja dan kanak-kanak.

"Insya’Allah saya akan membalas kepercayaan ini dengan usaha yang bersungguh-sungguh demi kecemerlangan berterusan JDT FC dan pemerkasaan belia Johor," tambahnya.

Pada 27 Januari lalu, selain Khairy, Umno turut memecat Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar dan menggantung beberapa pemimpin lain berikutan dakwaan pelanggaran disiplin sewaktu PRU15.