Skip to main
Logo Malaysiakini

Kod Sukan Selamat jamin hak dan kebajikan komuniti sukan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hak serta kebajikan atlet dan komuniti sukan dalam negara untuk menikmati persekitaran sukan yang selamat kini lebih terjamin, susulan Kod Sukan Selamat yang diperkenalkan secara rasmi oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Kod dibangunkan KBS itu adalah garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan dan penderaan dalam sukan.

Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata kod itu pada masa sama dapat memperkukuh aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan negara secara menyeluruh.

"Kod ini memberi tafsiran kepada jenis-jenis salah laku yang berlaku dalam sukan berpandukan kepada garis panduan antarabangsa dan juga undang-undang tempatan.

"KBS percaya perincian kepada skop salah laku ini akan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap gangguan dan penderaan dalam sukan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kod itu di Menara KBS di Putrajaya hari ini.

Hannah berkata kod itu menerangkan peranan dan tanggungjawab semua pemegang taruh seperti atlet, jurulatih, badan sukan, ibu bapa dan organisasi berkaitan sukan serta mekanisme pelaporan sedia ada yang boleh digunakan semua penggiat sukan.

Sebagai langkah permulaan, KBS turut melantik pegawai pelindung, Melissa Akhir yang akan ditempatkan di Majlis Sukan Negara (MSN).

"Beliau ialah seorang peguam berpengalaman serta pakar gender dan akan menjalankan peranan sebagai pakar rujuk bagi Kod Sukan Selamat, memberi khidmat nasihat serta menjalankan program-program advokasi berkaitan sukan selamat," katanya.

Kod itu merangkumi tatacara kelakuan bakal diguna pakai untuk mengendalikan aduan mengenai gangguan dan penderaan dalam industri sukan sebelum digantikan dengan Akta Sukan Selamat pada masa akan datang.

Sementara itu, Hannah turut menyempurnakan pelepasan misi Malaysia Everest 2023 (ME2023) pagi tadi, membabitkan tiga pendaki diketuai Presiden Kelab Eksplorasi Altitud Azim Afif Ishak, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Lt Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub dan orang kurang upaya (OKU) pekak Muhammad Hawari Hashim.

Beliau mengharapkan misi pendakian puncak tertinggi dunia itu (8,848 meter dari paras laut), bermula 2 April hingga 3 Jun ini, akan berakhir dengan kejayaan.

Misi tersebut adalah kesinambungan daripada misi 2022 yang ditangguhkan disebabkan faktor cuaca dan keselamatan pendaki berikutan angin kencang dan ribut salji.

- Bernama