Bergelut bayar lesen operasi, Yeoh minta KPKT bantu pengusaha gim
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu pengusaha gimnasium dalam isu perlesenan dan perniagaan mereka.
Yeoh menyatakan ramai pengusaha bergelut dalam soal pembayaran lesen operasi gimnasium dan pusat sukan kerana mengenakan bayaran keanggotaan yang rendah.
"Jika mereka kenakan bayaran keanggotaan RM75 setiap bulan tetapi lesen perniagaan RM15,000, mereka akhirnya akan tutup kedai.
"Sebab itu kita minta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk bantu mereka," katanya ketika acara tandatangan Kod Sukan Selamat di Selangor, hari ini.
Bagi membantu mereka, Yeoh mencadangkan agar kementerian itu menyediakan dana RM20,000 untuk membantu pengusaha gimnasium.
Yeoh juga berkata dia telah meminta KPKT untuk mempertimbang langkah penyelarasan lesen secar saksama untuk membantu semua jenis gimnasium.
"Pertama, mereka bergelut untuk meneruskan perniagaan. Kedua, ada isu bayaran perlesenan kerana ada harga berbeza untuk pengendali gimnasium yang berbeza.
"Ada gimnasium yang seperti pusat kecantikan dan spa yang mengenakan bayaran mahal.
"Ada juga gimnasium yang lebih murah dan malah tidak kenakan bayaran kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk gunakan kemudahan mereka," katanya lagi.
Katanya, perkara itu dibawa ke perhatiannya selepas mesyuarat dengan Persatuan Usahawan Gimnasium Malaysia pada Januari lalu.
Mesyuarat itu bagi membincangkan Kod Sukan Selamat yang dilaksanakan mulai 15 Mac lalu.
Ia merupakan garis panduan untuk persekitaran sukan selamat yang menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengendalikan sebarang bentuk pencabulan dan gangguan.
Yeoh berkata kod tersebut menggariskan peranan dan tanggungjawab pihak seperti atlet, jurulatih, badan sukan, ibu bapa dan pertubuhan berkaitan sukan, serta berkenaan mekanisme pelaporan sedia ada yang boleh digunakan semua pihak terlibat.
Kod itu juga merangkumi prosedur untuk mengendalikan aduan berkenaan gangguan dan pencabulan dalam industri sukan sebagai ganti kepada cadangan Akta Sultan Selamat, yang menurut Kementerian Belia dan Sukan akan diperkenalkan pada masa akan datang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai