Shereen, Umar juara pecut 400 meter Sukan SEA
“Nak hamstring pun hamstringlah, janji menang,” itu reaksi bersahaja atlet olahraga negara, Umar Osman usai mencipta kejutan memenangi emas 400 meter (m) lelaki Sukan SEA 2023 semalam.
Lebih manis apabila pelari berusia 20 tahun itu mencipta rekod baru kebangsaan 46.34 saat (s) sekali gus meleburkan rekod lama 46.41s milik Mohd Zaiful Zainal Abidin, yang dicatat dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Brunei pada Julai 2001.
Umar yang pada awalnya bermula agak perlahan berjaya melakukan pecutan pada 70m terakhir untuk menamatkan larian dan menghadiahkan emas ketiga kem olahraga negara pada hari kedua saingan di Stadium Nasional Morodok Techo, di Phnom Penh.
Bercakap kepada pemberita selepas aksinya itu, beliau sama sekali tidak menyangka dapat memenangi acara tersebut apatah lagi memadamkan rekod kebangsaan berusia hampir 22 tahun milik Mohd Zaiful dalam penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA.
“Saya hanya nak ambil pengalaman sebab ini kali pertama sertai Sukan SEA, walaupun saya ranking pertama pada aksi separuh akhir pagi tadi, saya tak yakin menang kerana peserta lain mungkin tak ‘all out’.
"Ketika di final saya buat sehabis daya, tak fikir apa, ‘belasah’ sahaja,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Pelari dari Kluang, Johor itu, pada masa sama mahu mendedikasikan kejayaan tersebut kepada jurulatih, Simon Lau Chin Meng, yang banyak membantunya termasuk dalam aspek pendidikan sehingga berjaya menyambung pelajaran di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, selain keluarga atas dorongan diberikan.
“Saya tak habiskan tingkatan enam, sebaliknya masuk politeknik kerana keputusan ketika itu kurang elok dan ‘coach’ Simon risau saya tak sambung belajar.
“Saya dah rugi dua tahun di tingkatan enam dan buat keputusan untuk sertai politeknik sebelum ke kem kebangsaan untuk berlatih, ada ketika saya ‘tergolek’ dan tak boleh bangun,” katanya ketika mengenang kembali jerih perih dilalui sebelum mencipta kejayaan membanggakan di Kemboja.
Aksi final di sebelah petang hari ini menyaksikan pingat perak dan gangsa masing-masing disambar atlet Filipina iaitu Umajesty Wesley Lachicha Williams (46.52s) dan Frederick Cabatu Ramirez (46.63s).
Dalam pada itu, Shereen Samson Vallabouy yang muncul ratu 400m baru Asia Tenggara gembira dapat meraih emas pertama acara kegemarannya selepas memenangi gangsa dalam penampilan sulung pada edisi 2015 di Singapura.
Katanya nasihat daripada ibunya, Josephine Mary sebelum perlumbaan telah membakar semangatnya untuk tampil dengan prestasi meyakinkan.
“Saya rasa perkara utama di sini ialah saya hanya mahu buat yang terbaik, sudah tentu ada tekanan tetapi tetapi dapat menanganinya serta bercakap dengan ibu bapa saya yang sebelum ini adalah atlet, memberi motivasi dan benar-benar membantu saya meredakan kebimbangan.
“Terima kasih atas semua sokongan dan pengorbanan yang mereka (keluarga) lakukan. Saya bersyukur kerana mereka ada di sini untuk menyaksikan detik paling hebat buat saya,” katanya.
Shereen yang juga pemegang rekod kebangsaan mencatat masa 52.53s, sekali gus memecahkan dominasi juara empat kali berturut-turut, Nguyen Thi Huyen dari Vietnam (53.27s) yang merangkul perak, manakala gangsa milik rakan senegaranya, Nguyen Thi Hang (53.84s).
Kejayaan dilakar Umar menyaksikan beliau menamatkan kemarau emas selama 14 tahun yang kali terakhir dimenangi Zafril Zuslaini pada edisi 2009 di Vientiane, Laos.
Shereen pula kembali meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi podium acara 400m wanita di pentas Sukan SEA selepas N Manimagalay kali terakhir memenanginya pada edisi 1999 di Brunei.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai