Misbun terima lima tawaran dari luar negara, mahu berehat dulu
Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Misbun Sidek telah menerima sekurang-kurangnya lima tawaran dari luar negara setelah berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), baru-baru ini.
Tanpa mendedahkan senarai negara yang cuba memancingnya, Misbun berkata antara yang berminat mendapatkan khidmatnya itu dari negara jiran, manakala terdapat juga tawaran baginya untuk membimbing skuad senior.
“Sebenarnya dari dulu lagi sudah ada (tawaran) malah dalam beberapa minggu lalu setelah mereka tahu saya telah diberhentikan, namun saya mahu rehat dahulu.
“Kesemuanya bergantung kepada syarat tertentu yang saya letakkan, jika mereka setuju baru saya terima,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Misbun, yang memerlukan masa memikirkan tawaran diterimanya berkata buat masa ini, dia akan memberi tumpuan terlebih dahulu dalam aspek pembangunan akar umbi di Kelab Badminton Nusa Mahsuri, yang diterajui dia dan adik beradiknya.
Misbun memberi bayangan dia tertarik melatih pemain Thailand, Singapura dan Eropah, memandangkan pemain mereka mempunyai potensi untuk mara lebih jauh.
“Berdasarkan tawaran diterima, terdapat pemain mereka yang menduduki 10 terbaik,” katanya sambil mengharapkan sentuhannya di luar nanti mampu melahirkan seorang lagi pemain nombor satu dunia.
Dia sebelum ini pernah menghasilkan tiga pemain nombor satu dunia iaitu Wong Choong Hann, Roslin Hashim dan Lee Chong Wei.
Dalam pada itu, Misbun tidak menolak kemungkinan untuk membawa adik yang juga bekas pemain beregu negara Jalani Sidek sebagai pembantunya, sekiranya dia berkelana di luar negara kelak.
“Selama ini Jalani jadi tulang belakang saya. Saya perlukan dia kerana dari segi analisis dia tahu, contohnya mengapa pemain tersebut tak smesy, itu antara kepakarannya,” katanya.
Walaupun sudah berusia 63 tahun, dia mengakui masih belum puas dalam dunia sukan badminton dan bersedia menurunkan ilmu dimilikinya kepada pemain dari luar, setelah pernah mencurah bakti bersama BAM sebelum ini.
Selasa lepas, BAM mengesahkan Misbun secara rasmi meninggalkan badan induk sukan itu dan menganggap kemelut antara kedua-dua pihak telah selesai.
Misbun pada 9 Ogos lepas, dilaporkan sudah menghantar surat jawapan berhubung tawaran diberikan BAM, dalam usaha memujuknya kembali susulan penamatan kontrak selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM, bulan lepas.
Sebelum ini, BAM menerusi Jawatankuasa Khas diketuai Timbalan Presiden 1 BAM V Subramaniam membuat keputusan menamatkan kontrak Misbun, berikutan prestasi hambar skuad badminton remaja di Kejohanan Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas.
Misbun meninggalkan BAM buat kali pertama pada 2011 sebelum menyertai semula BAM untuk kali kedua pada 2017, sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Kebangsaan.
Pada 2020, dia dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan, diikuti sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM tahun lepas.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai