Skip to main
Logo Malaysiakini

Nur Shazrin dedikasi emas pada arwah jurulatih

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif, yang menghadiahkan emas pertama Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou 2022 mendedikasikan pingat itu kepada jurulatih yang juga pengurusnya Abd Aziz Hashim yang meninggal dunia pada Oktober 2021.

Atlet kelahiran Pasir Gudang, Johor itu berkata pingat emas berkenaan begitu bermakna pada dirinya, namun pada masa sama sedih kerana tidak dapat berkongsi kejayaan itu bersama Abd Aziz yang membimbingnya dalam dunia pelayaran sejak di bangku sekolah.

Pelayar berusia 25 tahun itu berkata beliau sebelum ini pernah hampir berputus asa dalam dunia pelayaran, tetapi arwah sentiasa memberi motivasi kepadanya untuk meneruskan usaha dalam sukan berkenaan.

“Encik Aziz sentiasa ada dengan saya dan beri semangat untuk saya teruskan usaha, dan akhirnya saya dapat pingat emas.

“Tapi saya tak dapat kongsikan pingat ini bersama arwah yang macam bapa saya, dan emas ini untuk beliau dan keluarga saya,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Hangzhou, China hari ini.

Malaysia berjaya merangkul pingat emas pertama pada Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi Nur Shazrin dalam acara ILCA 6 wanita pada hari keempat acara berpingat dipertandingkan sekali gus melayakkan beliau ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain Nur Shazrin, dua lagi pelayar turut menyumbang pingat iaitu gangsa menerusi Muhammad Asnawi Iqbal Adam bagi acara ILCA 4 lelaki dan Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen dalam acara Windsufring RSX wanita.

Sementara itu, pemenang pingat emas dua kali pada Sukan SEA itu, berkata kemenangan berkenaan turut menjadi tonik semangat buatnya untuk menebus kekecewaan gagal meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo sebelum ini.

“Saya harap program lebih baik menanti, sebab masa Olimpik Tokyo persediaan terganggu kerana COVID-19 dan sasaran saya tak tercapai. Masa di Tokyo saya di kedudukan 26 … di Paris saya sasarkan 15 teratas,” katanya.

Beliau turut berharap dapat menjalani latihan di Paris sebelum berlangsungnya temasya sukan berprestij itu, selain mendapat sokongan penuh dari segi fasiliti dan rawatannya dalam persediaan ke Paris.

- Bernama