Skip to main
Logo Malaysiakini

Atlet negara dapat caruman KWSP, Perkeso mulai tahun hadapan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN l Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melakukan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerjan (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada atlet negara mulai tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata caruman yang berkuatkuasa Jan 2024 itu membabitkan atlet di bawah program Podium sebagai satu langkah menjaga kebajikan atlet sukan negara.

"Lembaga pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini telah meluluskan kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan memberikan penekanan kepada kesejahteraan serta kebajikan atlet dalam program MSN.

"Pihak MSN sedang meneliti pelaksanaan caruman KWSP dan Perkeso untuk semua atlet di bawah program Podium mulai Jan 2024.

"Ini merupakan satu langkah 'game changer' untuk atlet kita, kerana tak pernah dilaksanakan untuk menjaga kebajikan atlet.

"Di mana atlet negara akan mendapat KWSP dan juga Perkeso," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Hannah (PH- Segambut), berkata demikian ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan.

Hannah Yeoh

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).

Wan Ahmad Fyhsal membangkitkan persoalan mengenai elaun atlet sukan ragbi yang lebih rendah berbanding sukan-sukan lain khususnya bolak sepak.

Mengulas lanjut Hannah berkata, skim elaun itu adalah berdasarkan pencapaian atlet di sukan antarabangsa seperti Sukan Sea, Komanwel dan Olimpik.

Dalam pada itu, program Rakan Muda tahun hadapan akan memberi tumpuan kepada memberi pendedahan politik kepada anak muda.

Supaya mereka dapat memahami proses pemilihan ahli Parlimen serta ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Ada yang sudah puluhan tahun (usia), namun tidak dapat bezakan antara ahli Parlimen dan Adun," katanya lagi.