Skip to main
Logo Malaysiakini

SNBJ: Yeoh maklumkan tindakan lanjut minggu depan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh enggan mengulas lanjut mengenai keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) yang rosak dan menuai kecaman pelbagai pihak.

Yeoh sebaliknya berkata dia akan menyatakan pendirian sebenar mengenai isu itu pada waktu lain.

"Tak nak komen dulu... kita (KBS) akan bagi (kenyataan) selepas ini.

"Buat masa ini kita fokus pada permohonan maaf yang dikeluarkan Perbadanan Stadium Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Yeoh semalam dia menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung dengan lancar walaupun hujan lebat.

"Saya ucapkan tahniah kepada JDT kerana telah menang," katanya yang ditemui pada program Setahun Bersama Malaysia Madani di prkarangan SNBJ, Kuala Lumpur, hari ini.

Isu permukaan padang stadium nasional itu mendapat perhatian ramai yang menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak sesuai digunakan untuk perlawanan yang berprestij seperti malam tadi.

Permukaan padang terjejas dipercayai kesan daripada kehadiran orang ramai yang menyaksikan konsert Coldplay baru-baru ini.

Perbadanan Stadium Malaysia kemudian tampil membuat permohonan maaf.

Menerusi kenyataan media, agensi itu juga memohon maaf kepada semua peminat sukan bola sepak negara terutamanya pasukan JDT dan Terengganu FC (TFC) yang berentap di final Piala Malaysia.

Mereka mengakui tidak mempunyai masa mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 Nov lalu.

Pada 4 Nov lalu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyindir Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Hans Isaac.

“Standard yang bagus untuk final Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi,” tulisnya.

Yeoh juga menjelaskan dia akan memaklumkan mengenai tindakan lanjutnya berhubung keadaan padang stadium itu minggu depan.

"Saya akan maklumkan (tindakan selanjutnya) minggu depan," katanya.