Skip to main
Logo Malaysiakini

'Nak tunjuk pandai' punca Dollah gagal 10 kali berniaga

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Jika sebelum ini nama Dollah Salleh hanya dikaitkan dengan dunia sukan, khususnya bola sepak, tidak ramai yang menyangka bekas penyerang skuad kebangsaan itu berdepan episod hitam apabila berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Bahkan dugaan yang ditempuh Dollah bukanlah sembarangan. Kegagalan dalam dunia perniagaan melebihi 10 kali membuat Dollah yakin itu bukanlah dunia yang sesuai untuk diceburinya.

“Saya pernah cuba buka perniagaan tapi semua yang saya usahakan gagal.

"Ada lebih 10 kali cubaan saya berniaga akhirnya gagal. Memang saya habiskan banyak wang pada perniagaan saja,” katanya.

Namun Dollah, 60, menjelaskan kesukaran dan kegagalan membina perniagaan tidak diletakkan pada bahu sesiapa sebaliknya mengakui ia berpunca daripada diri sendiri.

Kata Pengurus Sri Pahang FC itu, antara faktor yang membawa kepada kegagalan itu ialah kerana dia tidak membuat sebarang rujukan kepada pakar atau pihak yang berpengalaman terlebih dulu.

“Kadang-kadang saya nak tunjuk pandai, tapi itulah akhirnya gagal,” ujarnya.

Tak salah bantu artis

Dollah berkata demikian pada sidang media mengenai Kejohanan Golf Amal Selebriti edisi keempat anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara amal yang menyasarkan kutipan dana sekurang-kurang RM50,000 itu akan berlangsung di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai pada 21 Jan ini.

Objektif utama kejohanan tersebut ialah untuk mengumpul dana bagi membantu artis kurang bernasib baik, terutama golongan veteran yang tidak sihat serta tidak dapat bekerja lagi.

Menurut Dollah, memang menjadi lumrah untuk seseorang pemain bola sepak yang sudah berada di penghujung karier mempunyai keinginan menceburi bidang perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan mereka akan mengalami nasib sama apabila berdepan kesukaran gara-gara tidak mempunyai kemahiran asas dalam perniagaan.

“Kami kena terima hakikat bahawa pemain bola sepak ini bukan business minded. Ini memang kelemahan ramai pemain bola sepak atau atlet.

“Saya sendiri tengok ramai rakan buka restoran namun 90 peratus daripada mereka tidak berjaya. Ada yang mampu berniaga sekerat jalan saja kemudian habis lingkup,” katanya.

Dollah (empat dari kanan) bersama Presiden Karyawan, Freddie Fernandez (empat dari kanan).

Dollah pada masa sama menafikan tanggapan sesetengah pihak yang melihat pemain bola mempunyai kehidupan senang-lenang kerana memperoleh gaji lumayan.

“Itu mungkin zaman sekarang atau pemain JDT saja. Macam saya, bukan boleh jadi jutawan pun,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Kejohanan Golf Amal Selebriti bersama Karyawan, Dollah berkata, ia adalah penyertaan kali keduanya.

Walaupun berbeza aliran, katanya, usaha untuk membantu anak-anak seni dalam kesusahan tidak terhad kerana sering mengikut rapat perkembangan industri itu.

“Walaupun dikenali sebagai pemain bola, apabila ada pihak meminta bantuan, saya tak kisah kerana ia demi perkara baik, iaitu mengumpul dana untuk golongan artis atau keluarga mereka yang berdepan masalah.

“Tujuan kita adalah membantu dengan beri sedikit apa yang termampu agar dapat membiayai sokongan kepada Karyawan untuk teruskan kerja-kerja amal mereka,” katanya.