Skip to main
Logo Malaysiakini

MFL minta maklumat tambahan dari Kedah

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pasukan Kedah Darul Aman FC diminta menyerahkan maklumat tambahan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung status penyertaan mereka di Liga Super musim 2024-2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata maklumat tambahan daripada pasukan Sang Kenari itu akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat suku tahunan ahli lembaga pengarah badan pentadbir bola sepak tempatan pada 6 Mac ini.

Beliau berkata maklumat tambahan itu merupakan tindakan susulan skuad dari utara tanah air selepas First Instance Body (FIB) memberi tempoh kepada mereka menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan sehingga 5 Mac ini.

“Kami akan maklum kepada pihak media berhubung kedudukan Kedah selepas menerima maklumat tambahan nanti,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Road To Gold (RTG) semalam.

Hutang gaji pemain 4 bulan

Kedah dilaporkan berhutang gaji pemain untuk empat bulan sejak musim lepas.

MFL boleh mengambil tindakan punitif seperti pemotongan mata dan menolak lesen kebangsaan untuk bersaing dalam Liga Super sekiranya masalah itu berterusan.

Sebelum ini, Melaka United FC, Sarawak United FC dan Perak FC pernah dikenakan pemotongan mata sebelum musim bermula.

Sementara itu, Stuart yang juga Penyelaras RTG berkata sesi temu duga antara FIB dengan wakil empat kelab Liga Bolasepak Amatur (AFL) M3 yang memohon lesen luar biasa bagi menyertai saingan Liga Super 2024-2025 yang dijadual bermula 10 Mei ini, dipinda dari minggu ini kepada Isnin (4 Mac) susulan kekangan masa.

MFL membuka semula permohonan lesen luar biasa kepada kelab M3 pada Januari lepas susulan keputusan FIB dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025 ini susulan masalah kewangan.

MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan Kelantan FC.

- Bernama