Skip to main
Logo Malaysiakini

'Perlis United jangan hanya jadi pasukan belasahan jika ke Liga Super'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis Wan Zikri Afthar Ishak berharap pasukan bola sepak Perlis United FC (PUFC) tidak sekadar menjadi pelengkap jadual, jika layak ke Liga Super musim ini.

"Mereka (pengurusan dan pemain) kena buktikan kemampuan untuk bersaing di Liga Super.

"Kita tak mahulah jadi pasukan belasahan semata-mata," katanya kepada Malaysiakini.

PUFC bakal menjadi pasukan ke-14 yang akan beraksi pada saingan Liga Super musim 2024/2025 jika memenuhi syarat-syarat tambahan yang dikenakan Malaysian Football League (MFL).

Sebanyak empat pasukan mengemukakan permohonan selain PUFC iaitu Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT bagi mengisi slot berkenaan selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan pasukan Kelantan FC akibat masalah tunggakan gaji.

Wan Zikri Afthar Ishak

Antara kriteria dan subkriteria yang perlu dipenuhi adalah kemudahan infrastruktur, Kakitangan dan Pentadbiran, sukan, perundangan, kewangan dan perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Mengulas lanjut, Wan Zikri Afthar yang juga Adun Tambun Tulang berkata dia tetap positif dengan kemampuan pengurusan PUFC yang baru yang disifatkan lebih berorientasikan perniagaan.

"Saya yakin dengan kemampuan pengurusan baru yang lebih 'business-minded' dan dibarisi orang muda tapi mereka perlu buktikan mereka mampu bermandiri.

Pengurusan PUFC

"Apapun, kita (kerajaan negeri) tetap menyokong satu-satunya wakil dari Perlis dan ia satu pendedahan yang bagus untuk merancakkan lagi sukan bola sepak negeri serta menarik lebih ramai penaja," katanya lagi.

Ditanya mengenai komen negatif warga maya mengenai kemampuan PUFC mengharungi liga hingga akhir musim, Wan Zikri Afthar berkata pasukan itu perlu lebih mandiri dan menguruskan pasukan dengan baik bagi mengelak berlakunya masalah seperti tunggakan gaji pemain.

"Masalah (tunggakan gaji) ini berlaku hampir di semua pasukan, sebab itulah saya kata, mereka kena buktikan kepada peminat," katanya lagi.