Penganalisis: Tolak tawaran anjur Sukan Komanwel langkah tepat
Bagi penganalisis sukan Pekan Ramli, keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menolak tawaran untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 adalah langkah yang tepat, di saat kerajaan perlu mengutamakan usaha memulihkan ekonomi negara.
“Sukan tidak menjadi keutamaan pada ketika ini tetapi ialah bagaimana untuk meningkatkan kualiti ekonomi kita dan menyejahterakan rakyat Malaysia dalam keadaan semasa.
“Bukan dari segi faktor kedudukan ekonomi sahaja tetapi faktor masa juga diambil kira kerana tempohnya terlalu singkat,’ menurut Pekan ketika dihubungi Malaysiakini.
Pekan antara lain menyentuh persediaan atlet negara yang tinggal hanya dua tahun sebelum berlangsungnya temasya itu.
“Kalau kita bandingkan dengan tahun 1998, kita menyiapkan atlet selama lima hingga enam tahun. Mereka sepenuh masa sebagai atlet untuk menghadapi Sukan Komanwel 1998 (di Kuala Lumpur).
“Tiba-tiba dua tahun, dalam keadaan sukan kita pula sedang merosot. Apa yang pasti rakyat akan mempersoalkan mengapa kita menjadi tuan rumah tetapi pencapaian kita teruk,” katanya lagi.
Pada 22 Mac lalu, KBS memutuskan untuk menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah temasya empat tahun sekali itu dalam edisi akan datang.
KBS berkata, antara sebabnya adalah jumlah £100 juta (RM603 juta) yang ditawarkan CGF dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya itu.
Mengulas lanjut, Pekan berkata walaupun fasiliti sedia ada masih boleh digunakan, kerja baik pulih tetap perlu dilakukan yang boleh menyebabkan peningkatan kos di luar jangkaan.
Dia juga menjangkakan Sukan Komanwel edisi akan datang mungkin dianjakkan selepas 2026 memandangkan masih banyak negara yang berdepan kesukaran ekonomi.
“Kecuali jika ekonomi sesebuah negara itu betul-betul kukuh dan tidak mengharapkan pulangan (daripada penganjuran), hanya sekadar menunjukkan kemampuan dari aspek penganjuran.
“Dalam keadaan begini, kita melihat bahawa ada kemungkinan Sukan Komanwel ini akan dianjak sedikit kepada 2027 atau 2028,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai