Skip to main
Logo Malaysiakini

Mampukah Harimau Muda tunjuk taring pada Uzbekistan malam ini?

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Berdepan perlawanan pembukaan kumpulan D, malam ini, skuad bola sepak Malaysia bawah 23 (B-23) dilihat bakal menempuh cabaran sukar apabila dijadualkan menentang pasukan Uzbekistan di pentas Piala Asia B-23 2024, di Qatar.

Namun, anak buah Juan Torres Garrido pastinya mahu membuktikan kemampuan sebenar mereka selepas mengharungi latihan panjang sebagai persediaan.

Malah, Garrido dalam sidang media kejohanan itu semalam tampil bersikap positif dan yakin dengan ‘taring’ skuad Harimau Muda walaupun dianggap sebagai bukan pasukan pilihan.

Juan Torres Garrido

Katanya, tanggapan itu sebaliknya boleh menjadi motivasi terbaik untuk memberi cabaran kepada pasukan pesaing.

"Kita harus menerima realiti sebagai pasukan bukan pilihan terutama selepas melihat cara kita layak untuk bersaing di Piala Asia B-23. 

"Tetapi, kami gembira untuk beraksi di kejohanan ini dan kami memandang ke depan dan berhasrat memperbaiki keputusan pada edisi lalu,” kata Garrido sambil memaklumkan anak-anak buahnya begitu teruja untuk mengharungi perlawanan pertama.

Selain Uzbekistan, kumpulan D turut menempatkan pasukan Vietnam dan Kuwait yang akan bersaing dengan Malaysia bagi penentuan ke peringkat kalah mati.

Selepas berdepan Uzbekistan malam ini, Harimau Muda dijadualkan menentang Vietnam pada 20 April dan Kuwait pada 23 April nanti.

Edisi kali ini merupakan peluang ketiga Malaysia layak ke Piala Asia B-23 selepas melakukan pada 2018 dan 2022. 

Pencapaian terbaik skuad kebangsaan ialah pada 2018 bawah kendalian Ong Kim Swee, yang berakhir di saingan ke suku akhir. 

Dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini skuad B-23 negara menang 1-0 kepaca China tetap kalah 1-2 kepada pasukan sama dalam perlawanan ulangan.