Skip to main
Logo Malaysiakini

Selangor pasang papan iklan solidariti buat Faisal Halim

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Papan iklan tanda setiakawan dengan pemain sayap bola sepak negara di pasang di sekitar Lembah Klang membawakan pesan "Stand with Faisal Halim. Stop The Violence!".

Ia susulan tragedi melanda bintang bola sepak negara berusia 26 tahun itu yang juga pemain pasukan Selangor .

Pemain sayap kiri kelahiran Pulau Pinang itu menjadi mangsa serangan asid di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor, Johan Kamal Hamidon berkata papan iklan itu usaha kolektif rakan kongsi kelab itu di seluruh negeri.

“Selangor FA bekerjasama dengan majlis tempatan dan juga Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dan Skyblue Media yang mempunyai aset digital di seluruh Selangor,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata Selangor FA mahupun kerajaan negeri tidak membiayai papan iklan tersebut dan menegaskan ia bertujuan menunjukkan solidariti terhadap Faisal dan kempen menentang keganasan dalam sukan.

Tragedi menimpa Faisal mendapat perhatian meluas dunia bola sepak antarabangsa, antaranya daripada pemain sayap serta penjaga gol kelab Liga Perdana Inggeris Manchester United, Alejandro Garnacho dan Andre Onana (gambar bawah) yang menitipkan kata-kata semangat buat Faisal pada satu program temu bual televisyen swasta.

Sebelum ini media melaporkan polis telah menahan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes serangan asid ke atas Faisal.

Susulan kejadian itu, Faisal terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan termasuk pembedahan ketiganya pada petang Khamis lalu.

Ahli lembaga pengarah Selangor FC, Shahril Mokhtar dilaporkan berkata Faisal, yang lebih dikenali sebagai "Mickey," kini boleh berjalan dan tidak sabar untuk pulang.

Faisal mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila gol cemerlangnya ketika menentang Korea Selatan semasa Piala Asia pada Januari telah dipilih jaringan terbaik pada kejohanan itu.

Serangan ke atas Faisal berlaku selepas pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid menjadi mangsa serangan dua penyamun sebaik pulang dari latihan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!