Skip to main
Logo Malaysiakini

Prosedur rawat kulit Faisal tunjuk kesan positif

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tahap empat dialami Faisal Halim yang cedera disimbah asid baru-baru ini menunjukkan reaksi positif.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Shahril Mokhtar menyifatkan lapisan kulit yang dibawa dari luar negara untuk digunakan dalam prosedur bermula Khamis lepas itu dilihat sesuai.

“Setakat ini, saya lihat kondisi Faisal bertambah baik dengan proses skin allograft juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahril melawat pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor FC berusia 26 tahun itu di hospital semalam.

Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Jan lalu itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan dia terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bola sepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei lepas.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu selepas itu apabila cermin kereta pemain kelab JDT Safiq Rahim dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru pada 7 Mei.

- Bernama