Skip to main
Logo Malaysiakini

FAM masih bergantung harap pada kerajaan

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu memerlukan lagi sokongan daripada kerajaan terutama dalam memajukan bola sepak negara.

Selain sokongan diberikan kerajaan, beliau berkata bantuan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut diharapkan sambil membayangkan satu kolaborasi antara FAM dan GLC berupaya memberikan impak positif kepada kedua-dua entiti.

“Kita perlukan lagi sokongan daripada kerajaan terutamanya untuk naikkan taraf bola sepak Malaysia.

“Kemungkinan bukan hanya daripada kerajaan, tetapi kalau kerajaan dapat menyokong kolaborasi antara GLC besar dengan FAM, itu sesuatu yang bagus, bukan saja dari segi kewangan bahkan boleh membantu FAM pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada peranan, bantuan dan perhatian kerajaan terhadap sukan bola sepak ketika ini membantu FAM dalam membangunkan lagi ekosistem bola sepak negara ini, dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pada masa sama, Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berusia 58 tahun itu berpendapat masih terdapat ruang untuk mengukuhkan lagi tahap hubungan antara FAM dan kerajaan.

Menurutnya, beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, namun perlu ada lebih persefahaman mengenai Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

“Sekarang seperti sedia maklum, NFDP separuhnya dikendalikan oleh MSN (Majlis Sukan Negara) dan separuh lagi oleh FAM. Tetapi ada sesetengah tempat seperti di AMD perlu diberi kepada FAM untuk bukan kita hendak menjadikannya privet, tetapi untuk meletakkan pakar dari luar negara untuk menguruskan AMD.

“...kerana kalau kita tengok dalam tempoh 10 tahun, kita tidak mendapat produk yang baik daripada sana (AMD) untuk lahirkan pemain berkualiti, jadi perlu ada rombakan di situ dan seseorang perlu bertanggungjawab terhadap AMD,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu.

Hamidin yang turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC berkata beliau telah memberikan pandangannya berhubung isu NFDP dan AMD kepada Hannah dan percaya Ahli Parlimen Segambut itu akan meneliti perkara tersebut dengan sebaiknya.

Pada 10 Mei lepas, Jawatankuasa Pemandu NFDP secara rasmi mengumumkan pelantikan Ketua Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Australia Oscar Francisco Gonzalez sebagai Pengarah Teknikal NFDP berkuat kuasa 21 April lalu.

Gonzalez yang juga diberikan tanggungjawab selaku Pengarah Teknikal AMD dipilih hasil cadangan FAM setelah menemu duga empat calon yang disenarai pendek oleh badan induk itu pada Disember tahun lepas.

Sebagai rekod, kerjasama antara FAM dan NFDP pada Disember 2020 menyaksikan penubuhan skuad projek FAM-MSN, sebagai usaha mencipta laluan kerjaya produk NFDP termasuk graduan AMD dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Skuad itu bersaing dalam Liga Premier selama dua musim pada 2021 dan 2022 sebelum beraksi dalam kancah Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim lalu dan dilapor akan dibubarkan musim ini.

-Bernama