Skip to main
Logo Malaysiakini

Faisal: Saya tak pernah bermusuh, buat masalah dengan orang

Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

Saya tidak bermusuh dengan mana-mana pihak, kata pemain Selangor FC Faisal Halim dalam sidang media pertamanya sejak serangan asid terhadapnya pada bulan lalu.

Masih terkesan dengan insiden itu, Faisal, 26, berkata dia adalah seorang yang baik dengan semua orang dan ramah.

"Saya tak sombong dengan semua orang, saya selalu melayan orang. Jadi selepas ini kalau perlu saya akan berubah jadi sombong jika itu yang terbaik untuk diri saya.

"Saya tak pernah ada musuh, saya tak pernah buat masalah pada orang," katanya dalam sidang media di pusat latihan Selangor FC di Shah Alam, hari ini.

Pada 5 Mei lalu, pemain Selangor FC itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pusat beli belah di Damansara.

Susulan kejadian itu, Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey turut menjalani beberapa siri pembedahan.

Mengulas lanjut Faisal berkata, pada awalnya dia berhasrat untuk bersara daripada arena bola sepak dan pulang ke kampung halaman demi keselamatan keluarganya.

"Saya beritahu isteri saya, keluarga saya termasuk abang saya, saya tak kisah hilang gaji RM50,000 dan nak balik kampung. Saya hanya mahu hidup tenang, saya boleh ambil gaji RM50 sehari janji keluarga saya selamat, saya tak nak hidup dalam ketakutan.

“Apa yang berlaku ini di luar jangkaan, saya tak boleh terima keluarga saya dalam ketakutan,” katanya.

Mengulas lanjut, Faisal merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah mengambil berat terhadapnya sepanjang insiden menimpanya.

Malah, Faisal turut menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Buat masa ini dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap pelaku diheret ke muka pengadilan.

"Kali terakhir berhubung dengan polis semasa di ICU, minggu pertama (kejadian) selepas itu tiada update. Saya harap pihak polis buat yang terbaik," katanya lagi.