Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan MFL menekan, tak adil buat Selangor FC - Exco

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan denda RM100,000 dan pemotongan tiga mata terhadap Selangor FC dalam saingan Liga Super disifatkan sebagai tidak adil oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi.

"Keputusan MFL bersifat menekan, tidak adil dan membelakangkan semangat kesukanan dalam bola sepak.

"Keputusan seharusnya dibuat dengan mengambil kira permohonan Selangor FC yang memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih 2024 susulan insiden keganasan yang melibatkan Faisal Halim dan beberapa pemain lain," katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, MFL mendenda Selangor FC sebanyak RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat bagi membincangkan ketidakhadiran Selangor FC pada perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei lepas.

Skuad Gergasi Merah juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan dan MFL, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan berlangsung tanpa penonton.

Selangor sebelum ini menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT susulan insiden jenayah serta ancaman membabitkan beberapa pemain, selepas pemain sayap mereka, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei.

Selangor menegaskan keselamatan pasukan diutamakan selain memandang serius segala bentuk ancaman terhadap pemainnya.

Pasukan itu juga memohon agar perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu ditangguhkan, namun ditolak oleh MFL.

Sementara itu, Najwan berkata dia telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan menggesa mereka mengemukakan bantahan terhadap keputusan MFL.