Skip to main
Logo Malaysiakini

Selangor FC timbang ambil tindakan susulan hukuman MFL

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Selangor FC sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya selepas didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super 2024/2025 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam.

Skuad Gergasi Merah dalam satu kenyataan mengambil maklum keputusan MFL berhubung denda dikenakan selepas tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, 10 Mei lepas.

“Untuk makluman pihak kelab memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Mohamad Faisal Abdul Halim pada 5 Mei yang lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak,” menurut kelab itu.

Selain denda tersebut, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut memutuskan perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.

Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata akan jatuh ke posisi kelima.

Susulan kejadian menimpa Faisal Halim dan beberapa pemain, Selangor pada bulan lepas menegaskan keselamatan pasukan diutamakan selain memandang serius segala bentuk ancaman dan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan perkara itu.

Keputusan itu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

MFL juga memaklumkan wang denda RM100,000 yang dikenakan terhadap Selangor akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan nanti.

-Bernama