Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan cemas' - Pesan Chong Wei pada atlet buru emas pertama negara

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Bekas jaguh badminton negara Lee Chong Wei menasihatkan barisan atlet negara yang bertarung di temasya Olimpik Paris 2024 supaya tidak cemas di gelanggang.

Menceritakan pengalamannya, Chong Wei mengaku mengalami rasa cemas ketika pertama kali menyertai temasya berprestij dunia itu.

“Saya nasihat atlet supaya jangan cemas. Tapi mustahil tak cemas. Semasa saya turun gelanggang semasa Olimpik pertama saya, walaupun bertemu Ng Wei dari Hong Kong, bergetar juga tangan saya kerana cemas.

“Peluh tak henti-henti membasahi baju yang dipakai. Fikiran menjadi kusut. Coach nampak saya gelisah, dia tahu yang saya dah cemas,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pemenang pingat perak Olimpik 2008, 2012, dan 2016 itu berkata, jurulatihnya kemudiannya meminta pakar motivasi untuk menenangkannya.

“Mamat ini pun sampai kat aku. Terus dia pegang tangan aku nak bagi kata-kata motivasi, ‘Jason, jangan cemas. Ini kali pertama kau, saya tahu. Tapi Jason, teguhkan mental dan emosi. Jangan cemas’.

“Aku pandang coach, coach pandang aku. Kita hairan, sejak bila nama saya Jason.

“Aku pon cakap ‘bro, aku bukan Jason lah. Mamat itu balas, saya tahu, Jason ialah nama saya. Saya pun cemas juga. Ini kali pertama saya jadi ahli psikologi untuk acara begitu besar. Jadi sebelum saya motivasi kamu, saya motivasi sendiri dulu.

“Aku dan coach terus gelak, terus hilang cemas aku. Mungkin itulah cara tersendiri ahli psikologi ini. Jangan cemas, raih emas atlet-atlet kita,” katanya.

Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung mulai 27 Julai hingga 11 Ogos, dengan Malaysia menghantar seramai 26 atlet dalam usaha meraih emas pertama negara.

Chong Wei turut menyelitkan kata-kata semangat buat kontinjen negara selain menyeru rakyat Malaysia memberi sokongan padu.

“Serulah semua, Malaysia boleh! Temasya sukan terbesar dunia kini kembali.

“Kepada atlet, tunjukkan yang terbaik demi lencana di dada. Yang menyokong seperti saya, jangan putus berdoa dan menyokong agar skuad kebaangsaan dapat kembali dengan emas pertama negara. Jangan cemas, Malaysia boleh,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.