Skip to main
Logo Malaysiakini

Bapa perenang para pertikai kaedah pemilihan atlet ke Paris

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Bapa kepada perenang para kebangsaan, Zy Lee Kher, berang apabila atlet ketujuh dunia itu terlepas peluang untuk bertanding di Paralimpik gara-gara kesilapan teknikal pengurusan.

Walter Lee mendakwa pemilihan yang dilakukan pihak Malaysia terhadap Zy adalah berdasarkan kaedah slot bipartit (dua bahagian) – yang merupakan sebahagian daripada sistem pemilihan wildcard – bukannya berdasarkan merit.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) menolak permohonannya dengan menyatakan kaedah bipartit tidak pernah digunakan untuk 10 atlet terbaik.

Keputusan itu menimbulkan kontroversi, lebih-lebih lagi apabila slot yang menggunakan kaedah merit dilaporkan digunakan kepada atlet renang yang mempunyai kedudukan lebih rendah, Imaan Aiman.

Walter mengkritik Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) dan Persatuan Renang Para Malaysia (Prepma) atas proses pemilihan atlet mereka.

Dia kemudian membuat aduan mengenai perkara tersebut dan ingin mendapatkan penjelasan mengenari kriteria pemilihan.

“Kami tahu tentang keputusan itu tapi tidak faham bagaimana keputusan dilakukan. Prepma harus telus dan penyesuaian harus dibuat bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Ketelusan adalah penting untuk proses pemilihan yang jelas dan adil, bukan sahaja kepada Zy tetapi untuk masa depan sukan di Malaysia,” katanya kepada media dalam sidang akhbar semalam.

Pada 16 Julai lalu, Prepma mengesahkan bahawa keputusan untuk menghantar Nur Syaiful Kulkafli dan Imaan adalah muktamad.

Zy Lee Kher

Mereka memberi penjelasan bahawa kriteria pemilihan dibuat berdasarkan kebarangkalian untuk memenangi pingat, bilangan acara yang Malaysia boleh sertai, dan pencapaian atlet sebelum ini.

Presiden Prepma, Megat D Shahriman Zaharudin, menyatakan peluang Zy untuk terpilih dikira pada 90.1 peratus (catatan peribadi terbaik)/88.2 peratus (catatan terbaik musim) untuk acara S5 200m gaya bebas dan 87.8 peratus (catatan peribadi terbaik)/83.3 peratus (catatan terbaik musim) untuk acara SB4 100m gaya dada, meletakkan beliau di tempat ketiga dalam proses pemilihan.

Prepma juga menjelaskan Imaan bertanding dalam pelbagai kategori berbeza sekali gus membolehkan Malaysia menyertai lebih banyak acara pada kejohanan berkenaan.

Jika Zy dipilih, penyertaan Malaysia menjadi terhad kepada empat acara kelas S5 kerana kedua-dua atlet - Zy dan Nur Syaiful - bertanding dalam kategori yang sama.

Pencapaian lepas juga diambil kira apabila Nur Syaiful memenangi pingat emas, manakala Zy memperoleh dua pingat gangsa dan Imaan memenangi gangsa di Sukan Para Asia di Hangzhou, China.

Tambah Megat Shahriman, pemilihan Zy turut mengambil kira masa yang dicatatkan, bukan hanya kedudukannya.

Sementara itu Walter memberitahu Malaysiakini isu tersebut melangkaui perihal peribadi.

Dia berkata demikian sebagai maklum balas terhadap amaran yang diberikan Megat Shahriman selepas dituduh menyalah guna kuasa sebagai ahli jawatankuasa Prepma dan mencetuskan kontroversi dengan Renang Para Dunia tanpa perundingan yang betul

Walter menyatakan dia membuat rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengenai perkara itu dengan mendakwa Prepma sengaja mengecualikan Zy melalui kaedah pemilhan slot bipartit.

Kejohanan Paralimpik akan bermula pada 28 Ogos ini tetapi persatuan telah pun mengemukakan senarai atlet yang layak.

[Baca berita asal]