ULASAN | Tidak ada individu lebih besar daripada negara
Biar apapun pangkat dan jawatannya, apabila berlaku pertentangan dengan kepentingan negara, maka individu perlu berkorban atau dikorbankan.
Sukan kita masih dimonopoli oleh muka-muka lama yang penuh birokrasi. Masih dipenuhi oleh boomers yang berasa diri sentiasa betul.
Dan dengan jawatan yang disandangnya, dia invincible.
Yang sudah lama memegang jawatan dalam mana-mana agensi sukan, bersedialah untuk melepaskan jawatan dan menyerahkan kepada muka-muka baharu yang lebih berkepakaran dan bervisi segar.
Dalam Olimpik ini sahaja, beberapa kontroversi menyelimuti kontinjen negara kita, khususnya tim badminton yang diletakkan harapan untuk memungut pingat emas.
Bermula dengan perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang dinafikan iringan jurulatihnya, Nova Armada sampailah kepada pendedahan Lee Zi Jia yang turut gagal membawa bersama ahli fisioterapi dan rakan sparring beliau kerana kerenah birokrasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Semalam tular pula, presiden MOM membawa bersama anggota keluarganya atas kuota khas yang diperuntukkan kepadanya, pada masa yang sama tidak dapat membenarkan beberapa pegawai penting yang sepatutnya mengiringi atlet kita.
Kita tidak tahu sama ada benar pegawai tinggi MOM atau Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memang diperuntukkan kuota istimewa sebegini dengan menggunakan wang negara, sehingga bajet dan tempat yang sepatutnya diisi dengan keperluan yang lebih mendesak, menjadi kos melepas.
Baca: Kad akreditasi tetamu khas Olimpik tidak dibiaya kerajaan - MOM
Selepas daripada ini, segala peruntukan yang tidak ada kena mengena secara langsung dengan pembangunan sukan dan ahli sukan wajib dikaji semula dan didedahkan kepada umum, mana-mana yang wajar.
Setelah jutaan ringgit dibelanjakan, dalam kes ini, projek Road to Gold (RTG) memperuntukkan kira-kira RM40 juta, akhirnya kita mendengar keluhan di saat wisel permulaan ditiupkan.
Betapa sia-sianya segala persiapan, peruntukan dan pengorbanan yang dilakukan oleh atlet kita, jika ia terhalang dan tergendala dek kerenah birokrasi segelintir pembesar sukan yang sombong dan besar kepada dengan jawatan yang disandangnya.
Menteri belia dan sukan perlu bertanggungjawab dan menjawab segala persoalan yang sedang hangat ini.
Menteri perlu berani
YB Menteri perlu bertindak berani untuk melakukan rombakan dan memecahkan segala kerenah birokrasi dan autokrasi yang wujud dalam agensi pengurusan sukan negara kita.
Jangan bimbang YB, kami warga Malaysia yang rasional akan mempertahankan tindakan yang baik dan berwawasan demi sukan negara kita. Kalau kami boleh mengkritik, kami juga boleh menyokong.
Sukan adalah medan yang menyatupadukan seluruh warga Malaysia. Jika politik memisahkan, sukan menyatukan.
Di mana lagi yang bisa kita saksikan semua bangsa dan agama, dari seluruh pelosok negara berdiri megah, melaungkan kata-kata semangat, dan menitiskan air mata demi seorang warga Malaysia yang sedang berjuang?
Hanya dalam sukan. Apatah lagi sukan yang besar seperti Olimpik, Komanwel dan Asia.
Jika kerajaan ingin menyemai perpaduan rakyat dengan cara yang relatif mudah, inilah dia peluang yang terbentang di depan mata.
Genggam peluang ini, bangkitkan dan kembangkan usahanya.
Tidak perlu untuk kita bersusah-payah melantik pakar atau perunding untuk memikirkan perihal perpaduan rakyat ketika kita ada sukan yang terbukti berjaya menghapuskan stigma perkauman dan perbezaan politik.
Demikian pentingnya sukan ini, selain ia menjadi wadah untuk melahirkan manusia yang sihat, cerdas dan cergas – mens sana in corpore sano.
Ia juga menjadi platform untuk menjual imej negara di mata dunia. Semakin kita cemerlang, semakin kita menjadi tumpuan dunia.
Secara tidak langsung ia membantu promosi terhadap negara kita, yang kemudiannya akan memberikan pulangan lumayan dan membangkitkan ekonomi negara.
Sukan adalah alat serampang dua mata.
Sekali lagi, tidak ada individu yang lebih besar daripada negara!
SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN adalah pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai