Aaron Chia bakal terima insentif khas dari k'jaan Melaka
Pemain badminton beregu negara Aaron Chia bakal menerima insentif khas daripada Kerajaan Negeri Melaka atas kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024, baru-baru ini.
Exco Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata pemberian itu sebagai penghargaan atas pencapaian atlet berasal dari Batu Berendam itu pada temasya paling berprestij di dunia.
"Saya mewakili kerajaan negeri juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kemenangan pasangan beregu negara ini yang telah mengharumkan nama negara dan Melaka.
"Semua anak Melaka yang berjaya dalam sukan akan diiktiraf kerajaan negeri menerusi sumbangan atau anugerah khas berupa wang tunai atau hadiah tertentu," katanya kepada pemberita di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di Melaka hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukma Melaka dan turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal dan Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Mohd Khairol Kamis.
Mengulas lanjut Shanmugam berkata mana-mana atlet yang berjaya dalam kejohanan sukan juga akan menerima jumlah setimpal mengikut skala ditetapkan sama ada di peringkat dunia, Asia, serantau atau di peringkat Sukan Malaysia (SUKMA).
Katanya pemberian insentif khas buat Aaron itu akan diselaraskan bersama penyerahan imbuhan kepada pemenang pingat di SUKMA Sarawak 2024 nanti.
Pada Ahad minggu lepas, dalam aksi dramatik, beregu lelaki utama Malaysia Aaron- Soh Wooi Yik berjaya menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam perlawanan penentuan gangsa.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai