Skip to main
Logo Malaysiakini

T'ganu, K'tan tempah tiket ke separuh akhir bola sepak

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Juara bertahan Terengganu menepati ramalan menempah tiket ke saingan separuh akhir bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menyingkirkan Selangor 3-1 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Padang Mesra Majlis Daerah Dalat Mukah (MDDM) di Mukah hari ini.

Ketua Pasukan skuad penyu Muhammad Danial Mohd Nor membuka tirai jaringan pada minit ke-20 namun ia tidak kekal lama apabila penyerang utama skuad gergasi merah kuning Abdul Rahmad Daud menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Bermula babak kedua, Terengganu yang dibimbing Subri Sulong memperkemas permainan dan berjaya menggandakan jaringan menerusi pemain pertahanan Muhammad Hazim Mohammad Padzli pada minit ke-58 sementara penyerang Shahmeer Rusli menambah derita Selangor apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-63.

Sementara itu, Kelantan mengiringi jirannya Terengganu mara ke saingan separuh akhir setelah menewaskan Johor 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Mukah.

Walaupun Johor diperkuat dengan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim II dan III, ia tidak cukup untuk menyaingi Kelantan yang dibimbing Ariff Hashim yang mempamerkan aksi lebih tersusun dalam mengawal perlawanan.

Gol pertama Kelantan hadir menerusi kesilapan penjaga gawang Johor Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa yang menjaringkan gol sendiri seawal minit keenam perlawanan sebelum Muhammad Naim Zainudin menyamakan kedudukan pada minit ke-16.

Penyerang Muhammad Shahril Sobri menjadi wira buat skuad Sang Kijang apabila menyumbat dua gol pada minit ke-26 dan 60 untuk membawa Kelantan ke pentas separuh akhir SUKMA 2024.

Esok akan berlangsung dua lagi perlawanan suku akhir melibatkan Pulau Pinang menentang Wilayah Persekutuan dan Perak bertemu Melaka.

- Bernama