Skip to main
Logo Malaysiakini

Latih atlet angkat berat seawal umur 12 tahun - Mohamad Aniq

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Badang negara Mohamad Aniq Kasdan berharap Malaysia dapat menyediakan program buat atlet berusia muda untuk sukan angkat berat demi memastikan sukan itu sentiasa mempunyai pelapis.

Beliau berpendapat sukan angkat berat seharusnya mempunyai pelatih seawal usia 12 tahun untuk dijadikan pelapis kerana sukan itu memerlukan tempoh yang agak panjang dalam usaha ‘pembikinan jaguh’. 

“Selalunya sukan angkat berat di Malaysia nak tunggu atlet baharu muncul tempohnya agak lama…kalau di negara jiran, umur 12 tahun sudah mulakan latihan yang tidak berat, tapi mereka jadikan hobi dan belajar teknik. Bila tiba umur 15 atau 16 mereka akan lebih serius.

“Kebanyakan atlet di Malaysia mula lambat pada umur 15 atau 16 tahun,” katanya dalam Program Ceritera Merdeka terbitan Bernama Radio hari ini. 

Dalam pada itu, atlet berusia 22 tahun itu menyifatkan atlet muda yang menunjukkan prestasi cemerlang di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak sehingga mampu memecahkan rekod kebangsaan baru-baru ini sebagai petanda positif buat sukan angkat berat negara. 

“Ada yang hampir menyamai rekod pingat emas di Sukan Komanwel, saya rasa itu petanda baik,” katanya. 

Pada SUKMA 2024, atlet Perlis Muhammad Hafizuddin Roslin berjaya mencuri tumpuan apabila  memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam kategori 81 kilogram (kg) lelaki.

Kategori wanita juga tidak kurang hebatnya apabila atlet Perak, Qharisya Suffia Mohd Muzani mencatat rekod kebangsaan baharu disiplin snatch dengan angkatan 65 kg clean & jerk (79kg) untuk mendominasi  podium kategori 45kg dengan angkatan keseluruhan 144kg.

- Bernama