Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Tanggungjawab kerajaan majukan bola sepak negara

Artikel ini sudah 17 hari diterbitkan

ULASAN | Pengumuman oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan menyumbang sebanyak RM15 Juta kepada usaha membangunkan lagi pasukan bola sepak Harimau Malaya sangat dialukan.

Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam usaha untuk membangunkan kebolehan negara dalam sukan bola sepak. Usaha ini perlu disokong oleh semua dan wajar dilihat sebagai satu agenda kebangsaan.

Sebenarnya ia bukan dasar baru. Hakikat bahawa pemain import sekian lama boleh mendapat kerakyatan apabila memenuhi beberapa syarat minimum adalah bukti keinginan kerajaan untuk meningkatkam lagi prestasi bola sepak negara. Malangnya dasar-dasar yang berwawasan ini tidak dihayati di semua peringkat.

Pentingnya prasarana dan ekosistem

Dalam usaha untuk mencapai matlamat meningkatkan mutu prestasi pasukan Harimau Malaya dan mutu bola sepak negara, perlu wujud satu prasarana sokongan dan ekosistem yang menggalakkan semua yang berbakat untuk mengasah bakat dan kebolehan mereka dalam sukan bola sepak.

Ia mesti merupakan bidang yang menawarkan kerjaya yang menarik dan agak lumayan.

Ke arah itu maka telah diwujudkan Liga Profesional Negara yang sekarang diuruskan oleh MFL. Dengan adanya liga ini, dan pasukan-pasukan profesional yang menyertainya, maka galakan serta ruang diwujudkan untuk semua yang berminat dan berbakat untuk membangunkan sukan bola sepak demi mengharumkan nama negara.

Sukan, khususnya bola sepak, harus dilihat sebagai satu industri yang mampu menampung berbagai kepakaran dan kerjaya sambil menyumbang kepada kesedaran kesihatan di kalangan rakyat. Ia tidak lagi boleh dilihat sebagai hobi atau kegiatan masa lapang tetapi satu industri yang berpotensi untuk menyumbang kepada ekonomi negara sekiranya dibangunkan secara terancang.

Liga Super Malaysia

Dengan wujudnya Liga Profesional, iaitu Liga Super Malaysia, ia membenarkan kemahiran dan bakat pemain negara diasah dengan sebaik-baiknya kerana semua pemain profesional menumpukan kepada pembangunan kemahiran mereka dalam sukan ini setiap hari.

Mereka hidup dalam suasana persaingan dengan bakat-bakat terbaik di negara dan dibantu juga dengan kehadiran bakat dari luar negara. Setiap hari mereka berlatih dan hidup mereka sebagai atlet sukan bola sepak negara dibiayai sepenuhnya melalui pasukan bola sepak yang disertai mereka.

Mustahil mutu dan persembahan pasukan negara boleh ditingkatkan tanpa adanya prasarana sokongan dan ekosistem sebegini. Hakikatnya, zaman bekerja sebagai petugas kerajaan untuk menyara hidup pada siang hari dan berlatih pada waktu petang dan malam tidak mampu menghasilkan prestasi terbaik dari semua. Lebih-lebih lagi apabila Liga Profesional telah diwujudkan di hampir semua negara di dunia.

Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempunyai hasrat, wawasan dan cita-cita untuk mengharumkan nama negeri Johor dan negara melalui usaha-usahanya yang menghasilkan pasukan JDT. Ia bukan satu kebetulan bahawa dari pasukan JDT inilah diperolehi kebanyakan pemain-pemain kebangsaan.

Begitu juga dengan kesungguhan kerajaan Negeri Selangor dengan pasukan Red Giants. Walaupun dilihat sebagai pesaing satu sama lain, namun persaingan ini, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, menghasilkan lonjakan prestasi atlet bola sepak negara.

Begitu juga dengan negeri-negeri lain yang menyumbang kepada kejayaan Liga Super Negara dengan membiayai pasukan bola sepak negeri melalui syarikat-syarikat milik negeri masing-masing dan MBI atau CMI mereka. Hingga hari ini ada 13 pasukan dalam Liga Super, termasuk Sabah, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan juga PDRM. Kesemuanya menyumbang kepada prasarana dan ekosistem yang menggalakkan kerjaya dalam bidang bola sepak di negeri masing-masing yang akhirnya menyumbang pula kepada pasukan negara.

Antara tanggungjawab, wawasan serta cita-cita

Boleh dikatakan bahawa semua kerajaan negeri “tiada obligasi” untuk membiayai pasukan bola sepak negerinya. Sekiranya semua negeri bersikap begitu, Liga Super Negara akan hanya disertai JDT. Tiada lagi orang seperti Tunku Ismail dalam dunia bola sepak negara buat masa ini maka mana mungkin akan wujud pasukan lain? Tetapi tanpa adanya saingan dan pertandingan, pasukan JDT juga akan terpaksa gulung tikar kerana tidak mungkin adanya Liga dengan adanya hanya satu pasukan.

Stadium bola sepak yang tersergam indah juga akan terbiar dan digunakan oleh budak-budak sekolah dan pasukan-pasukan sukan tanpa adanya persaingan yang bermutu tinggi seperti sekarang. Dan pasukan bola sepak negara akan di ranking yang antara tercorot di dunia. Mungkin bagi sebahagian, mereka akan berkata “kisah apa, ia hanya bola sepak. Kalau kalah 11 - 0 kepada Jepun pun apa ruginya?”

Tetapi bagi sebahagian yang lain, ia maruah bangsa dan negara.

Bola sepak bukan seperti sebahagian sukan yang lain. Ia sukan berpasukan yang memerlukan bukan sahaja kemahiran individu tetapi juga kebolehan bermain secara berpasukan. Ia memerlukan strategi dan taktik yang bertukar mengikut pasukan lawan yang dihadapi dan lebih penting, ia sukan yang paling popular di dunia. Ia sukan profesional yang memerlukan pendekatan profesional.

Kedudukan KLFA dan KL City FC

Bagi saya, tidak wajar Kuala Lumpur (KL) memandang remeh tanggungjawab untuk menyumbang kepada agenda kebangsaan untuk mewujudkan pasukan bola sepak bertaraf dunia apabila negeri-negeri lain sanggup melakukannya.

Walaupun tiadanya sebuah kerajaan negeri dan institusi kesultanan bagi KL dan Wilayah Persekutuan, hakikatnya pendapatan DBKL mengatasi kebanyakan negeri-negeri lain. Dan Kuala Lumpur adalah Kuala Lumpur, ibu kota negara Malaysia! Adakah wajar KL ketinggalan? Tidakkah KL merasa malu dengan adanya Kuching City di Liga Super tanpa kedengaran masalah kewangan yang dihadapinya?

Malangnya komitmen dan kesungguhan ini seolah-olah tidak dikongsi DBKL dan Wilayah Persekutuan pada masa ini, khususnya oleh mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dikatakan pihak yang menuntut perletakan jawatan saya sebagai presiden KLFA sebelum meluluskan sumbangan DBKL.

Adalah sangat diharapkan Datuk Bandar baru tidak mempunyai apa-apa agenda politik selain dari bekerjasama menjadikan wawasan negara satu realiti.

Sekiranya KLFA adalah Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur yang sekadar melayani Kelab Gabungannya untuk beraksi di Liga KL semata-mata, bermain sesama mereka, maka mungkin agak wajar sekiranya pihak DBKL dan Wilayah Persekutuan memandang sepi terhadap KLFA.

Tetapi KLFA merupakan pemilik utama pasukan bola sepak KL City FC, kelab profesional yang beraksi di Liga Super. KL City FC pula membekalkan tidak kurang empat pemain pasukan Harimau Malaya yang gaji mereka dibiayai KL City FC. KLFA menjadi platform untuk mencari dan mengenal bakat tempatan, melatih dan membangunkan bakat ini untuk KL dan negara.

KLFA merasa obligasi untuk menyumbang kepada agenda nasional tetapi malangnya cita-cita dan wawasan ini tidak dikongsi oleh semua. Komitmen sebahagian lain hanya sekadar bertepuk dan menumpang gembira bila negara dan KL berjaya tetapi mereka seolah-olah tiada kena mengena dengan usaha KLFA.

Kesungguhan kerajaan pusat sampai ke tahap sanggup memberikan kerakyatan kepada pemain-pemain import, apabila memenuhi syarat-syarat tertentu, tetapi malangnya, selepas mendapat kerakyatan, keadaan kewangan pasukan yang membiayai mereka tidak diambil peduli. Semestinya ini bukan caranya untuk mencapai satu wawasan dan agenda sukan negara.

Rumusan berhubung sukan bola sepak negara

Satu keputusan perlu dibuat sama ada kita serius untuk membina sukan bola sepak negara dan menjadikannya satu industri sukan yang mampu berdikari pada masa hadapan. Sekiranya kita bersetuju dengan wawasan itu, maka Liga Super perlu disokong bersama pasukan-pasukan yang beraksi di Liga tersebut oleh negeri masing-masing.

Sememangnya kita semua ingin melihat keadaan di mana setiap pasukan boleh berdikari dari sudut kewangan, tetapi ia tidak mungkin berlaku semudah itu, hanya kerana kita menginginkannya. Ia memakan masa dan memerlukan perancangan serta sokongan. Sepertimana juga mana-mana industri baru yang baru ingin bertapak. Oleh itu, memandangkan ia satu agenda nasional, selagimana keadaan berdikari itu tidak tercapai, semua pihak perlu memainkan peranan menyokong dan membantu.

Kecuali kita tidak mempunyai wawasan dan cita-cita itu dan sanggup melihat negara kita di kedudukan antara tercorot. Atau ada cadangan dan kaedah yang lain ke arah memantapkan sukan bola sepak negara tanpa adanya Liga profesional dan pasukan bola sepak profesional?

Kalau tiada, dan setahu saya memang tiada, maka marilah kita bersama menanggung tanggung jawab ini bersama. KLFA menjanjikan prestasi terbaik dengan bajet terendah mungkin, sepertimana tercapai kebelakangan ini, sambil DBKL serta WP seharusnya berdiri teguh bersamanya.

Sampai mati Kuala Lumpur.


KHALID SAMAD merupakan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur dan bekas menteri Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakin.